LBS Bina miliki prospek positif disokong momentum kukuh jualan hartanah – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

LBS Bina miliki prospek positif disokong momentum kukuh jualan hartanah – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - RHB Investment terus positif terhadap prospek LBS Bina Group Berhad berikutan momentum jualan hartanahnya kekal kukuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian susulan kumpulan itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM30.5 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), sejajar dengan jangkaan tahun penuhnya dan Street pada 24 hingga 25%, justeru, ramalan pendapatan dikekalkan.

 

“Hasil kumpulan merosot sedikit tahun ke tahun (YoY) tetapi margin bertambah baik disebabkan penjimatan kos yang lebih baik, terutamanya dalam segmen pembinaan, membawa kepada pertumbuhan pendapatan YoY yang mendatar,” ulasnya dalam nota hari ini.

 

Mengulas tentang jualan hartanah LBS Bina, firma itu berkata ia di landasan untuk mencapai sasaran RM2 bilion bagi FY23 dengan jumlah jualan setakat ini berjumlah RM526 juta berbanding RM503 juta dalam Januari hingga Mei tahun lalu, dengan tempahan hartanah RM589 juta.

 

Di samping itu, kumpulan tersebut telah melancarkan lima projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.38 bilion sehingga 11 Mei dan turut menyasarkan lebih banyak projek dengan GDV gabungan RM699 juta dilancarkan untuk baki TK23.

 

Sementara itu, kumpulan itu didapati telah memasuki pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Kumpulan Sany baru-baru ini untuk pembangunan pelabuhan laut dalam bernilai kira-kira RM8 bilion dan Desan Deniz untuk limbungan kapal untuk RM2 bilion, kedua-duanya berkuat kuasa sehingga April 2024.

 

“Kami menganggap ini sebagai kemajuan positif dalam penambakan Melaka dan perjanjian pembangunan yang ditandatangani dengan kerajaan negeri pada separuh pertama 2021,” tambahnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) 56 sen sesaham.

 

Saham LBS Bina setakat 11:45 pagi hari ini telah menokok 1 sen atau 2.5% kepada 41.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM651 juta. -DagangNews.com