Leader Energy, BSES jalin kerjasama galak pembangunan projek penyimpanan tenaga jangka panjang di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Leader Energy, BSES jalin kerjasama galak pembangunan projek penyimpanan tenaga jangka panjang di Asia Tenggara

Pengarah Urusan BASF SE, Frank Prechtl (dua dari kiri) memeterai perjanjian kerjasama dengan Timbalan Pengerusi Eksekutif Leader Energy, Datuk Sean H’ng Chun Hsiang (dua dari kanan) bagi menggalakkan pembangunan projek penyimpanan tenaga jangka panjang (LDES) di Asia Tenggara.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Okt - Leader Energy Holding Berhad menerusi anak syarikatnya, Leader Energy Ventures Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama BASF Stationary Energy Storage GmbH (BSES) bagi menggalakkan pembangunan projek penyimpanan tenaga jangka panjang (LDES) di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

 

BSES merupakan pengedar global eksklusif bateri natrium-sulfur yang dihasilkan oleh NGK Insulators, Ltd., Jepun.

 

Leader Energy bersama anak syarikatnya dan entiti dikawal bersama ialah pengeluar tenaga bebas yang terlibat dalam pembangunan, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan aset dan projek kuasa.

 

Menerusi perjanjian kerjasama itu, kumpulan itu berusaha untuk menyampaikan rumusan pasang siap (turnkey) yang komprehensif untuk projek-projek ini dan menggunakan Bateri NAS® yang akan dibekalkan oleh BSES. 

 

Sejajar dengan itu, Leader Energy telah mengenal pasti lapan projek LDES dengan jumlah anggaran nilai RM1.8 bilion.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Leader Energy, Datuk Sean H’ng Chun Hsiang berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan perkongsian strategik dengan BSES.

 

"Kerjasama ini akan membolehkan kami memanfaatkan set kemahiran masing-masing untuk menembusi lebih jauh ke dalam industri kuasa di Asia Tenggara sambil menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif yang akan menjadikan tenaga boleh diperbaharui pilihan yang lebih dipercayai dan berdaya maju.

 

"Di samping itu, ia akan mengurangkan kebimbangan untuk praktikal waktu malam, apabila sinaran suria tidak tersedia. Akhirnya, kami berhasrat untuk menggalakkan orang ramai untuk secara beransur-ansur menerima dorongan ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya. - DagangNews.com