KUALA LUMPUR 1 Okt. - Syarikat pakaian runcit kedua terbesar dunia, H&M berhasrat untuk menutup ratusan kedai miliknya menjelang tahun hadapan memandangkan krisis COVID-19 mendorong pelanggan untuk beralih ke pembelian dalam talian.
H&M yang meluas ke seluruh dunia bakal menutup sebanyak 250 kedai, merangkumi 5% daripada rangkaian kedainya.
Ketua Pegawai Eksekutif H&M, Helena Helmersson berkata, walaupun cabaran yang dihadapi masih belum selesai, pihaknya yakin bahawa jenama itu berada dalam kedudukan baik untuk keluar dan mengukuh daripada krisis berkenaan.
Menurut Reuters, H&M sebelum ini telah menutup beberapa buah kedai sebagai langkah peralihan digital yang mendatangkan lebih banyak persaingan.
Pada suku ketiga, H&M hanya mencatatkan penurunan keuntungan yang kecil.
“Secara keseluruhannya, prestasi pada suku itu lebih baik dari jangkaan dan kami meramalkan H&M mampu mengurus dengan baik.
“Kami fikir pasaran belum lagi menerima kualiti model dan infrastruktur lebih baik oleh H&M.
"Kami berpendapat bahawa keputusan ini adalah bukti lebih lanjut bahawa pemulihan H&M masih berjalan lancar,” kata JPM dalam nota kajiannya.
Syarikat Sweden itu menyaksikan keuntungan sebelum cukai pada suku ketiga menurun kepada 2.37 bilion krona dalam fiskal 3Q, berbanding 5.01 bilion krona pada tempoh sama pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com