KUALA LUMPUR 21 Mac - Buat julung kalinya, pelajar-pelajar yang mengikuti kursus Pengurusan E-Sukan Todak Academy menganjurkan Rising Star: Esports Tournament sebagai inisiatif projek tahun akhir mereka.
Acara tersebut berlangsung secara dalam talian dan bersemuka di Todak Academy, Cyberjaya, baru-baru ini.
Dalam pertandingan tersebut, seramai 104 pasukan bertanding dalam pertandingan PUBG Mobile dan Mobile Legend: Bang Bang bagi merebut hadiah terkumpul sebanyak RM5,000.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal Aminuddin berkata, acara tersebut bertujuan menggalakkan pelajar dan masyarakat meneroka peluang kerjaya berasaskan Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM).
"Menerusi STEAM, ia dapat memberi pendedahan terhadap elemen yang terlibat dalam e-sukan yang mereka sertai.
"Todak Academy percaya bahawa melalui sukan elektronik dapat membantu lebih ramai pelajar khususnya golongan belia masa kini menyemai iltizam untuk memilih kerjaya berkaitan STEAM, dan berkembang menjadi masyarakat cemerlang di masa hadapan," katanya dalam kenyataan.
Bagi golongan belia yang berminat untuk mendaftar kursus yang berkaitan e-sukan, animasi 3D, pembangunan permainan dan lain-lain, boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi Todak Academy - DagangNews.com