Lebih 100,000 pengunjung hadir Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sepanjang 4 hari di KLCC | DagangNews Skip to main content

Lebih 100,000 pengunjung hadir Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sepanjang 4 hari di KLCC

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Dis - Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) nyata mendapat sambutan luar biasa apabila mencatatkan kehadiran seramai 103,000 pengunjung selama empat hari penganjurannya.

 

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, program yang bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini melebihi sasaran awal pihaknya iaitu sekitar 20,000 orang atau peningkatan melebihi 400%.

 

Menurutnya, program yang julung kali melibatkan berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat dengan secara keseluruhan sebanyak 31 gerai pameran kementerian yang terdiri daripada 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta 102 jualan gerai usahawan.

 

"Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia telah menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan. 

 

"Seramai 3,628 peserta daripada 4,005 orang peserta berdaftar telah dipanggilmenghadiri temuduga dan lebih 2,690 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini," katanya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan, hari ini.

 

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

 

tinjaun

 

Mohd. Zuki berkata, bagi program 'Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia' pula telah memberi peluang kepada pengunjung terutamanya lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa yang hadir.

 

tinjaun

 

Katanya, pengunjung hadir untuk mendapatkan maklumat tawaran secara langsung untuk memasuki program Asasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) selain menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan lain-lain lagi.

 

Dalam meneruskan momentum kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia, Mohd. Zuki berkata, inisiatif seperti itu akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama.

 

booth

 

"Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com