Lebih 2,000 peniaga sertai Peraduan Epik 10 Lazada, dua pemenang bawa pulang hadiah Vespa Primavera | DagangNews Skip to main content

Lebih 2,000 peniaga sertai Peraduan Epik 10 Lazada, dua pemenang bawa pulang hadiah Vespa Primavera

Aisha Mohamad Ibrahim (kiri) dan Tan Ee Vian membawa pulang hadiah utama Vespa Primavera S150 menerusi Peraduan Epik 10 Lazada.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Lebih daripada 2,000 peniaga tempatan telah mengambil bahagian dalam Peraduan Epik 10 Lazada yang mendorong mereka untuk memantapkan kedai dalam talian masing-masing dengan menambah aneka produk jualan serta menjangkau lebih ramai pelanggan.

 

Menerusi peraduan tersebut, dua pemenang bertuah, Aisha Mohamad Ibrahim (kedai Tudung Viral 01) dan juga Tan Ee Vian (pemilik kedai BeautéRider) berjaya membawa pulang hadiah utama Vespa Primavera S150 edisi istimewa, selain 100 peniaga tempatan memenangi hadiah saguhati. 

 

Berlangsung dari 25 April sehingga 30 September 2022, peraduan tersebut membawakan kelainan dalam usaha untuk mendorong peniaga tempatan Lazada Marketplace untuk menambahbaik perniagaan mereka menerusi beberapa siri tugasan.

 

Ia merangkumi perhiasan kedai dalam talian menggunakan fungsian Store Builder, memaksimumkan Lorikeet bagi deskripsi produk, memuatnaik sekurang-kurangnya 10 produk baharu untuk menambah kepelbagaian produk jualan, serta berinteraksi dengan para pelanggan demi meningkatkan skor kandungan kepada sekurang-kurangnya 90%, sebagai persiapan menjelang musim kempen jualan mega tidak lama lagi.

 

Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia, Darren Rajaratnam berkata, mereka terharu dan menghargai usaha memberangsangkan ribuan para peniaga yang mengambil bahagian dalam Peraduan Epik 10, serta berbangga dengan impak positif hasil dari usaha mereka. 

 

"Aktiviti keterlibatan seperti ini merupakan salah satu cara bagi menggalakkan lebih ramai para peniaga untuk menggunakan dengan lebih optimum perisian yang ditawarkan oleh Lazada, demi menambahbaik perniagaan dalam talian mereka, di samping menjangkau lebih ramai pelanggan, lantas melonjakkan jualan. 

 

"Bagi peniaga baharu dan juga yang sedia ada, kami berupaya membantu mereka dengan bimbingan secara langsung. Malahan, Lazada ingin mengalu-alukan lebih ramai peniaga tempatan termasuklah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menyertai platform kami dan memulakan perniagaan digital mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

lazada

 

 

Dalam pada itu, Aisha berasa teruja apabila mendapat tahu sebagai salah seorang pemenang hadiah utama. 

 

"Saya dan suami bersama-sama menguruskan kedai dalam talian Tudung Viral 01 dan tugasan menerusi peraduan ini memberikan dorongan untuk menambaik perniagaan kami," katanya.

 

Tan pula berkata, Perisian, sokongan dan bimbingan oleh pasukan Lazada University merupakan antara faktor yang berjaya membantuNYA untuk menjadi peniaga yang lebih baik serta lebih bermotivasi untuk memperbaiki perniagaan. 

 

"Peraduan ini agak unik dan nasib baik saya berani mencuba, tidak sangka pula menang hadiah utama Vespa Primavera S150," katanya.

 

Sebagai ganjaran tambahan, pemenang hadiah utama tersebut turut memenangi tiket Masterclass Edisi #8 yang akan berlangsung pada 26 Oktober 2022. 

 

Masterclass #8 dianjurkan oleh Lazada University dan kali ini ia akan membentangkan tip-tip yang dapat membantu para peniaga Lazada bersiap-siaga menghadapi kempen jualan mega, khususnya 11.11 dan 12.12. 

 

 

lazada

 

 

Sepanjang tahun ini, Lazada aktif bertemu dengan para peniaga secara bersemuka menerusi pelbagai aktiviti di seluruh negara, termasuklah di Kelantan and Kedah baru-baru ini. 

 

Pada bulan September, lebih 500 peniaga sedia ada dan bakal peniaga baharu mengambil bahagian dalam Sesi Teh Tarik, serta acara meraikan para peniaga yang bertemakan ‘Malam Kebudayaan’ dan ‘Hari Kebudayaan’ anjuran Lazada University dan Seller Engagement.

 

Para peniaga Lazada memainkan peranan yang penting dan instrumental dalam memacu ekosistem e-dagang, khususnya kerana beraneka produk pada harga berpatutan yang dijual oleh mereka di platform Lazada membolehkan lebih ramai pelanggan membuat pembelian yang lebih berbaloi dalam pelbagai kategori. 

 

Lazada akan terus memperkasakan PMKS tempatan ke arah membantu mendigitalisasikan perniagaan mereka di bawah ‘Hari-Harimau New Sellers Kickstarter Package’, menerusi inisiatif seperti Sapot Lokal, DE Dagang – Jualan Murah Keluarga Malaysia dan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. - DagangNews.com