KUALA LUMPUR 20 Sept - Lebih separuh atau 56% daripada responden Malaysia berminat untuk memasuki pasaran hartanah dalam tempoh 1 tahun akan datang, menurut kajian PropertyGuru.
Menurut Kajian Sentimen Pengguna (CSS) itu, walaupun dengan peningkatan harga hartanah dan cabaran ekonomi yang berterusan, hasrat membeli rumah kekal bagi bakal pembeli rumah jika dibandingkan dengan laporan CSS sebelumnya (55%).
Walaupun niat untuk membeli adalah kuat dalam kalangan rakyat Malaysia, tinjauan CSS juga mendapati bahawa pengguna tetap berhati-hati dalam menghadapi pelbagai halangan untuk memiliki rumah.
Halangan yang paling ketara adalah ketidakmampuan pemilikan perumahan. Dalam kajian ini, 87% responden hartanah masih menganggap harga hartanah sebagai halangan terbesar terhadap hasrat pembelian mereka.
Halangan pembelian lain termasuk kenaikan kadar faedah, kebimbangan tentang kemelesetan ekonomi, ketidakupayaan untuk mendapatkan pinjaman rumah daripada bank, kesukaran pembayaran deposit, dan ketidakstabilan politik.
Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Sheldon Fernandez berkata, pada separuh pertama 2023, pasaran hartanah tempatan dibelenggu pelbagai tekanan luaran ekonomi.
Katanya, Data Bank Negara Malaysia (BNM) dari Jun 2023 mencatatkan penurunan dalam permohonan pinjaman, dan MPMR Q3 2023 PropertyGuru juga menyaksikan pengurangan dalam pertanyaan hartanah pada suku kedua tahun ini.
"Walaupun prospek agak suram, ia amat mengujakan untuk melihat hasrat membeli pengguna kekal tidak berubah.
"Walaupun kami menjangkakan aktiviti urus niaga yang lebih perlahan dalam pasaran perumahan untuk sepanjang tahun ini, kami berharap ekonomi yang beransur stabil akan menghidupkan semula minat rakyat Malaysia terhadap hartanah pada 2024," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sheldon berkata, kenaikan harga hartanah ditambah dengan pendapatan yang tidak berubah dan kos sara hidup yang semakin meningkat telah menyebabkan impian memiliki rumah lebih sukar untuk dicapai oleh ramai rakyat Malaysia.
Katanya, walaupun peningkatan harga yang stabil mencerminkan pasaran hartanah yang sihat, jurang antara pendapatan dan harga rumah yang semakin meningkat akan menghalang sebahagian besar penduduk.
"Sama seperti gelombang sebelumnya, responden dalam tinjauan telah menunjukkan keperluan untuk bantuan kerajaan. Pertimbangan utama boleh merangkumi mengawal fluktuasi harga, yang boleh membantu mengekalkan pasaran hartanah yang seimbang yang mana harga sejajar dengan pertumbuhan pendapatan dan kos sara hidup.
"Kami mengharapkan beberapa berita baik daripada dasar gaji progresif yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024, kerana ia mungkin menjadi sokongan yang diperlukan rakyat Malaysia untuk mendekatkan mereka kepada impian memiliki rumah," katanya. - DagangNews.com