Lebih 86% pengguna cenderung beli produk yang dilihat di TikTok pada bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri | DagangNews Skip to main content

Lebih 86% pengguna cenderung beli produk yang dilihat di TikTok pada bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Lebih 86% pengguna TikTok cenderung membeli produk yang dilihat di platform itu pada bulan Ramadan hingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfiti.

 

TikTok dalam satu kenyataan berkata, pengguna menggunakan platform itu bagi mencari inspirasi berkaitan hari raya dengan 59% daripadanya mencari berita serta trend terkini. 

 

"Sebagai persediaan untuk mengadakan rumah terbuka, 96% pengguna bercadang membuat pembelian untuk diri sendiri atau orang lain semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 

"Selain itu, 86% berkongsi bahawa mereka akan membeli produk makanan dan minuman (F&B) menjelang sambutan hari raya, manakala 67% lagi akan membeli detergen, mesin basuh pinggan mangkuk dan pencuci pelbagai guna untuk rumah mereka," katanya.

 

Ketua Perkongsian Hasil Saluran TikTok di Asia Tenggara, Sea Yen Ong berkata, pihaknya ingin merancakkan sambutan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menyediakan bukan sahaja kandungan asli tetapi juga saluran untuk inspirasi, penerokaan dan pembelian.

 

tiktok

 

“Sempena Ramadan dan hari raya ini, TikTok muncul sebagai pencetus revolusi kerana pengguna hari ini tidak lagi hanya mengutamakan soal jualan, tetapi juga menginginkan hiburan. 

 

"Interaksi jenama dan pengguna telah mengalami peralihan, pengguna kini giat mencari pengalamanan yang interaktif, mengujakan, berunsurkan pendidikan dan menghiburkan,” katanya.

 

Pada 2023, TikTok mencatatkan 14 bilion tontonan untuk video berkaitan Ramadan, peningkatan sebanyak 4 bilion berbanding 10 bilion pada 2022. 

 

Pada tahun sama, 5 juta video berkaitan Ramadan telah dicipta pada platform itu, dan ini adalah satu peningkatan berbanding 3 juta video pada 2022.

 

Kajian TikTok mendapati  tujuh daripada 10 pengguna Malaysia menggunakan platform itu sepanjang tempoh Ramadan. 

 

tiktok

 

Malah, lebih 76% pengguna giat mencari kandungan yang menghiburkan di TikTok semasa Ramadan. Dalam tempoh sama, tontonan video dan penerbitan video masing-masing meningkat 73% dan 61% semasa sahur.

 

Kandungan di platform itu juga berkembang dari segi penciptaan video dan tontonan video, dengan peningkatan 1.7 kali ganda tahun ke tahun dalam penciptaan video, dan peningkatan 40% dalam tontonan video. 

 

Sejumlah 74% pengguna ingin mencari inspirasi berkaitan Ramadan pada platform itu, manakala 67% lagi ingin berkongsi keriangan dengan mencipta kandungan sendiri. 

 

Tambahan pula, tanda pagar #Ramadan telah mendapat lebih 7 bilion tontonan setakat ini, manakala topik-topik relevan seperti #BajuRaya, #HariRaya dan #GayaRaya masing-masing meraih 729 juta, 615 juta dan 400 juta tontonan. - DagangNews.com