Lebihan bekalan di dalam pasaran, Kenanga Research jangka prospek sektor sarung tangan kekal mencabar | DagangNews Skip to main content

Lebihan bekalan di dalam pasaran, Kenanga Research jangka prospek sektor sarung tangan kekal mencabar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kenanga Research menjangkakan persekitaran operasi bagi sektor sarung tangan terus mencabar pada suku berikutnya akibat dibelenggu lebihan bekalan yang besar di dalam pasaran.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan situasi lebihan bekalan menjadi lebih baik secara beransur-ansur berikutan pemain industri mula mengurangkan kapasiti pengeluaran menerusi penutupan kilang terpilih.

 

"Berdasarkan anggaran kami, situasi permintaan-bekalan hanya akan mula menuju ke arah keseimbangan pada tahun 2025.

 

"Keadaan itu dijangka berlaku selepas hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang sementara permintaan global untuk sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong oleh peningkatan kesedaran kebersihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan 12%-15% dalam permintaan global bagi sarung tangan getah setiap tahun bermula 2023, berikutan anggaran penguncupan 19% kepada 399 bilion keping pada 2022.

 

Mereka percaya keseimbangan bekalan-permintaan mungkin kembali antara enam hingga sembilan bulan, bagaimanapun, Kenanga Research menjangkakan keadaan lebihan kapasiti akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

 

Kenanga Research mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 15% pada 2023, yang selaras dengan ramalan MARGMA.

 

"Ini akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 112 bilion keping (bukannya meningkat sebanyak 4% atau 116 bilion seperti yang diramalkan sebelum ini) yang serupa dengan 2022.

 

"Walaupun bertambah baik, lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan kilang yang tertekan akan terus melanda industri pada 2023," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu.- DagangNews.com