KUALA LUMPUR 19 Dis - Pengeluar dan peniaga produk keluli bersepadu, Leform Berhad menerusi anak syarikatnya, LF Engineering Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM10.05 juta Ganda Imbuhan Sdn. Bhd. untuk membekal dan memasang pagar untuk Seksyen 6 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan dari Persimpangan Kapar ke Persimpangan Assam Jawa.
WCE merupakan lebuh raya sepanjang 233km yang sedang dibina di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menghubungkan Taiping ke Banting.
Ia akan menjadi lebuh raya ketiga terpanjang di semenanjung Malaysia selepas Lebuhraya Utara-Selatan iaitu 966km dan Lebuhraya Pantai Timur (330km).
Pengarah Urusan Leform Bhd., Law Kok Thye berkata, perolehan kontrak itu sangat bermakna selepas sebulan syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia.
"Kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
"Dengan mengambil kira kepakaran teknikal dan rekod prestasi kami dalam industri keluli, kami yakin kami mempunyai peluang yang baik untuk memperoleh lebih banyak projek dalam beberapa hari akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Leform disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 30 November 2022 yang berjaya mengumpul sehingga RM71.53 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO). - DagangNews.com