Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land

KUALA LUMPUR 17 Okt - Penang Development Corp (PDC) memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land Sdn Bhd bagi pembangunan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2).

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata Lembaga Pengarah PDC menegaskan bahawa mereka memandang serius dan tidak menerima perubahan majoriti struktur ekuiti Umech Land yang dilakukan tanpa memaklumkan PDC dan tanpa kelulusan PDC.

 

Bagaimanapun, lembaga pengarah PDC menegaskan bahawa proses pemilihan Umech Land adalah telus dan selaras dengan dasar PDC.

 

“Lembaga PDC juga mengambil maklum kolaborasi ini adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk dari aspek komersial dan manfaat kepada pembangunan negeri Pulau Pinang,” ujar beliau.

 

Sehubungan itu, perjanjian tersebut ditamatkan dengan notis tiga bulan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahama PDC-Umech Land.

 

PDC juga diarahkan untuk mengiklan permohonan cadangan untuk bekerjasama dengan PDC untuk membangunkan BKIP2.

 

“Selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui Request For Proposal (RFP) untuk cadangan kolaborasi dengan pihak PDC untuk memajukan BKIP2.

 

“RFP ini akan diiklankan oleh PDC dalam masa terdekat bagi menarik pelabur yang berminat,” tambahnya.

 

Perjanjian untuk membangunkan projek perindustrian mega itu, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM3.5 bilion dalam tempoh lapan tahun, mendapat perhatian selepas Sunway Bhd pada 27 September mengumumkan bahawa anak syarikat 70% miliknya, Umech Land telah menandatangani perjanjian pembangunan bersama dengan PDC untuk membangunkan bersama tanah seluas 226.2 hektar di Byram, Seberang Perai Selatan, dekat Batu Kawan.

 

Perjanjian tersebut dilanda kontroversi apabila ramai pihak menyuarakan kebimbangan berikutan kekurangan ketelusan, serta tadbir urus kerajaan negeri dan PDC, termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy Palanisamy.

 

Ramasamy menggesa kerajaan negeri membatalkan penjualan tanah milik PDC di Byram yang terletak di kawasan Seberang Perai Selatan, di mana beliau mendakwa penjualan tanah tersebut berharga lebih RM646 juta itu ibarat menyebabkan berlaku pelbagai masalah yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

 

Sementara itu, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang turut mendakwa satu pemaju hartanah sudah mengambil alih Umech Land dan bertindak menawarkan sewaan untuk beberapa bahagian tanah itu dengan kadar tinggi. - DagangNews.com