Lembaga Pengarah, Pengurusan Kanan Maybank sumbang RM2.27 juta percepatkan vaksinasi Orang Asli & B40 | DagangNews Skip to main content

Lembaga Pengarah, Pengurusan Kanan Maybank sumbang RM2.27 juta percepatkan vaksinasi Orang Asli & B40

Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf

 

 

KUALA LUMPUR 9 Sept – Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Maybank secara kolektif menyumbang lebih dari RM2.27 juta untuk membiayai kos logistik dan operasi vaksinasi COVID-19 untuk komuniti B40 termasuk Orang Asli, penduduk miskin bandar & luar bandar, dan juga gelandangan.

 

Program ini akan dijalankan melalui Operasi Peningkatan Kapasiti Imunisasi COVID-19 MERCY Malaysia dengan tujuan untuk membantu lebih banyak individu daripada segmen ini untuk mendapatkan akses kepada vaksin secepat mungkin.

 

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, pengumpulan dana ini adalah suatu idea yang bermula awal tahun ini dengan tujuan memastikan mereka yang paling terkesan mendapat akses kepada vaksin dan dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

 

''Kami merasa ia sangat penting kerana kami menyedari bahawa banyak individu daripada segmen ini perlu mendapatkan vaksinasi dengan cepat memandangkan mereka merupakan pencari nafkah, pekerja di barisan depan, atau disebabkan mereka tinggal di kawasan yang tidak mempunyai akses segera kepada perkhidmatan kesihatan.

 

“Selain itu, kami menyedari terdapat banyak gelandangan dalam kalangan kita, terutamanya dekat pejabat utama kami di Kuala Lumpur yang mudah terdedah kepada jangkitan virus COVID-19 memandangkan persekitaran tempat tinggal mereka yang terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Zamzamzairani berkata, pada saat ini ketika semua upaya sedang dilakukan untuk memerangi penyebaran virus COVID-19 yang mengakibatkan peningkatan jumlah kes dan kematian akhir-akhir ini, Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan kanan Maybank berpendapat adalah amat penting bagi komuniti kurang bernasib baik untuk tidak ketinggalan.

 

“Memandangkan kita sekarang dapat membantu meningkatkan upaya vaksinasi di seluruh negara dengan kerjasama MERCY Malaysia, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk membantu mereka yang paling memerlukan mendapat akses kepada langkah pencegahan COVID-19,” ujar beliau.

 

Program ini menyasarkan untuk memberi sekurang-kurangnya 225,000 vaksin (untuk 112,500 orang) dari sekarang hingga Disember 2021 - untuk membantu mempercepat proses imunisasi negara di kalangan masyarakat paling terkesan dan mereka yang mempunyai akses terhad.

 

 

Pengerusi Maybank Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa
Pengerusi Maybank Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa

 

 

Vaksin akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Program ini akan dijalankan dengan memanfaatkan platform vaksinasi ProtectHealth Corporation semasa di bawah PICK di negeri-negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, melalui saluran berikut:

 

  1. Pusat pemberian vaksin bergerak (PPV) untuk komuniti kurang bernasib baik termasuk miskin bandar dan luar bandar, Orang Asli, gelandangan dan masyarakat terpinggir;
  2. Vaksinasi jangkauan (lawatan ke rumah) yang memfokuskan kepada orang yang mempunyai akses terhad ke PPV atau mengalami pergerakan terhad, termasuk mereka yang terlantar sakit di katil, orang kurang upaya dan sakit; dan
  3. PPV Statik (dengan MERCY Malaysia sebagai penganjur penjagaan kesihatan).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Datuk Nora Manaf berkata, setiap orang mempunyai peranan untuk mengurangkan kes dengan ketara sambil belajar menjalani kehidupan mereka secara selamat dengan mematuhi peraturan interaksi baharu.

 

Sejajar ini kata beliau, Kumpulan Maybank secara berterusan mendorong semua pekerjanya untuk menggembleng tenaga dalam menyokong usaha memerangi COVID-19 di mana sahaja mereka berada.

 

“Seperti semua rakyat Malaysia, kami berharap untuk mengharungi pandemik ini dengan lebih berkesan dari segi aspek ekonomi dan sosial, agar bersama-sama kita dapat bekerja untuk masa depan yang lebih cerah dan mampan untuk semua.”

 

Maybank secara aktif menyokong usaha untuk membantu menyokong perjuangan negara membendung COVID-19. Baru-baru ini, pihak Bank menyumbang sejumlah RM14 juta untuk meningkatkan kapasiti di dua hospital kerajaan utama iaitu Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, untuk memastikan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang mencukupi serta memberi sokongan kepada sistem penjagaan kesihatan untuk mengatasi lonjakan kes COVID-19.

 

Pada tahun lalu, semasa fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (MCO), Kumpulan juga telah menyumbang lebih RM20 juta untuk pembelian PPE, ventilator dan alat ujian untuk membantu menyokong perjuangan menentang COVID-19. Sebagai tambahan, platform pengumpul dana (crowdfunding) MaybankHeart berjaya mengumpulkan lebih dari RM3 juta untuk membantu komuniti kurang bernasib baik dan menyokong inisiatif COVID-19 yang lain.

 

Pada bulan April tahun lalu, Maybank juga memperkenalkan Sama-Sama Lokal - platform komisen sifar - dengan tujuan untuk membantu perniagaan kecil seperti penjaja, kedai runcit dan restoran keluarga di kawasan sekitar yang mengalami penurunan dari segi perniagaan. Ketika ini, terdapat lebih dari 9,000 pedagang di seluruh negara yang tersenarai di platform ini dan ia terus mendapat sambutan positif daripada masyarakat. - DagangNews.com