Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Jabatan Perumahan Negara meterai MoU selesaikan isu projek perumahan sakit di Perak | DagangNews Skip to main content

Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak, Jabatan Perumahan Negara meterai MoU selesaikan isu projek perumahan sakit di Perak

Pegawai LPHP dan Majlis Perbandaran Manjung semasa meninjau projek perumahan Taman Cempaka II di Manjung yang terbengkalai.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 10 Julai - Isu projek perumahan bermasalah dan terbengkalai di negeri Perak dapat diselesaikan dengan lebih terjamin susulan kerjasama yang dimeterai dengan kerajaan Persekutuan.

 

Ia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

 

Setakat ini 5 projek dikenal pasti sebagai terbengkalai iaitu D'Aman Residensi Meru Raya di Ipoh, Taman Tapah Permai (Tapah), Taman Cempaka II (Manjung), Taman Seri Emas (Kampar) dan Taman Limau Mas (Beruas) 

 

Semua projek tersebut kini di bawah pemantauan aktif LPHP melibatkan 1,375 unit rumah.

 

Kapal
Saarani

 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini merupakan kerjasama yang pertama di negara ini membabitkan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan isu projek perumahan sakit.

 

“Kolaborasi bersejarah ini juga menandakan satu titik perubahan dalam pendekatan kita terhadap masalah perumahan yang sudah sekian lama membelenggu rakyat.

 

“Kerjasama strategik ini memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif serta pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pertukaran dokumen MoU ditandatangani Ketua Pengarah JPN, Datuk KN Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.

 

Kapal
Projek D'Aman Residensi Meru Raya di Ipoh yang masih belum siap sejak beberapa tahun.

 

Khusus bagi projek D'Aman Residensi Meru Raya, ia dijangka akan disambung semula pada akhir Julai ini dengan sasaran untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2024.

 

Menurut Saarani lagi, selain itu data terkini JPN sehingga Mei menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 rumah yang dikategorikan sebagai projek sakit di Perak.

 

Katanya, ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama ini dalam menangani isu yang membelenggu rakyat ini.

 

“Kita komited untuk memastikan MoU ini bukan sekadar pertukaran dokumen, tetapi satu pelan tindakan yang akan dilaksanakan dengan penuh dedikasi. 

 

“Saya yakin, dengan kerjasama erat antara LPHP dan JPN, kita akan dapat membawa perubahan positif dalam landskap perumahan negeri Perak dan berpotensi menjadi model kerjasama yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain,” ujarnya.

 

Tahun lalu kerajaan negeri Perak mengumumkan akan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani isu perumahan termasuk yang melibatkan projek sakit dan terbengkalai.

 

Jawatankuasa tersebut diterajui LPHP bersama agensi dan jabatan pelaksanaan terlibat. - DagangNews.com