Lesen memandu kini boleh diperbaharui sehingga 10 tahun - Menteri Pengangkutan | DagangNews Skip to main content

Lesen memandu kini boleh diperbaharui sehingga 10 tahun - Menteri Pengangkutan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA 3 Mei - Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) masing-masing untuk tempoh maksimum 10 tahun, berbanding had lima tahun pada masa ini.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, itu antara dua inisiatif pembaharuan LMM dilaksana Kementerian Pengangkutan (MOT) yang boleh diambil peluang orang ramai mulai 8 Mei 2023 di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

 

Katanya, mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja.

 

"Maksudnya ada diskaun 10%, untuk makluman bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jika membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30.

 

"Bagi orang ramai yang berminat, mereka hendaklah memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.

 

"Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara 1 sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing tertakluk kepada had maksima 10 tahun.

 

"Namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekali gus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10," katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

 

anthonyloke
                                               Anthony Loke

 

 

Beliau berkata, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang atau Kad MyKAS yang mana terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

 

Loke berkata, inisiatif kedua adalah kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh.

 

Beliau berkata, ia mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik COVID-19 serta kekangan dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air, lapor Berita Harian.

 

"MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.

 

"Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.

 

"Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula pada 1 Januari 2024," katanya. - DagangNews.com