Lexus buka bilik pameran mesra alam pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Lexus buka bilik pameran mesra alam pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Lexus Malaysia mengumumkan pelancaran bilik pameran mesra alam pertamanya di Malaysia, yang dibangunkan berdasarkan nilai-nilai dan garis panduan kelestarian dan mesra alam.

 

Terletak di Klang, Selangor, bilik pameran PCM Klang Motor Sdn Bhd itu sejajar dengan komitmen Lexus untuk mengurangkan jejak karbonnya dan merupakan sebahagian daripada lembaran baharu syarikat yang turut merangkumi usaha berterusan dalam mencapai neutral karbon menjelang 2050. 

 

Direka dengan teknologi pembangunan hijau terkini, bilik pameran mewah tersebut dilengkapi dengan material lestari yang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding material binaan tradisional. 

 

Di samping itu, ia juga memaparkan pencahayaan LED jimat tenaga serta penderia gerakan yang membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan air, pada masa sama meningkatkan pengalaman pelanggan. 

 

Bilik Pameran dan Pengedaran Lexus Klang itu berhasrat untuk meningkatkan akses kenderaan mewah kepada pemilik kenderaan dan pelanggan berpotensi di bandar Klang. 

 

Sebagai pengedar rasmi UMW Toyota Motor,  PCM Klang Motor Sdn Bhd juga mampu menawarkan peluang kepada pelanggan Toyota untuk menaik taraf kereta mereka kepada model Lexus menerusi program tukar beli. 

 

Lexus Klang juga berbesar hati untuk mengumumkan sebuah model baharu akan dilancarkan pada tahun ini dan akan dipamerkan di bilik pamerannya tidak lama lagi. 

 

lexus

 

 

lexus

 

 

Sementara itu, Presiden Lexus Klang Malaysia, Datuk Ravindran K berkata, pihaknya teruja untuk membuka bilik pameran mesra alam pertama Lexus di Klang dan berharap ia akan membuka laluan bagi usaha kelestarian lain pada masa akan datang. 

 

"Kami amat berbangga untuk menawarkan pelanggan kami salah satu pengalaman terbaik menerusi bilik pameran yang menggabungkan secara harmoni rasa hormat kami kepada bumi serta usaha yang diambil demi masa depan hijau. 

 

"Dengan menyepadukan material lestari dan teknologi menjimatkan tenaga dalam rekaan bilik pameran ini, kami mempamerkan komitmen dan keprihatinan syarikat terhadap kesejahteraan alam sekitar serta mengurangkan jejak karbon kami," katanya.

 

 

lexus

 

 

lexus

 

 

Pelanggan berpeluang melangkah ke pengalaman kemewahan kelas dunia kerana setiap Lexus baharu akan turut disediakan LexusCare, sebuah manfaat standard lengkap yang melangkaui pengedaran Lexus. 

 

Ia termasuk bantuan tepi jalan komprehensif, perkhidmatan percuma, akses acara eksklusif dan sebagainya. 

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan Lexus Malaysia, sila layari laman web https://www.lexus.com.my/ atau menghubungi pasukan Lexus Klang di talian 03-33456482. - DagangNews.com