KUALA LUMPUR 20 Julai - Seramai 2,400 pembeli kediaman Residensi Hektar Gombak yang tidak siap-siap merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membantu mereka menyelesaikan kemelut 'projek perumahan sakit' tersebut yang kini sudah berlarutan sejak lima tahun lepas.
Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Pro-Tem Residensi Hektar Gombak, Kei Indra mendakwa, pihaknya sudah banyak kali berjumpa pemaju, namun mereka sering memberikan alasan kekurangan pekerja dan tidak menafikan `bermasalah kewangan'.
"Pihak pemaju sering kata akan tambah bilangan pekerja setiap bulan tetapi jelas sehingga sekarang hanya janji tinggal janji.
"Selepas Hari Raya pada April lepas, kami melihat ada kerja-kerja pembinaan dilakukan, namun prosesnya nampak perlahan sehingga kini," dakwa Indra kepada DagangNews hari ini.
Beliau berkata, para pembeli yang berasa teraniaya meminta ihsan Perdana Menteri untuk membantu bagi menyelesaikan kemelut tersebut, ditambah lagi pihaknya dibebani hutang bank yang sudah berjalan walaupun projek tidak siap-siap.
"Baru-baru ini, kami telah menghantar surat kepada pegawai khas setiausaha politik Perdana Menteri dan sedang menunggu maklum balas daripada mereka," katanya.
Tambah beliau, pihak kerajaan dan institusi perbankan perlu melihat semula dan merombak perjanjian jual beli (S&P) demi kepentingan hak pembeli untuk masa hadapan.
Seorang pembeli kediaman itu, Lina Hashim, 34, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan projek tersebut terus berjalan, namun masih belum menemui titik noktah.
Katanya, isu tersebut menimbulkan keresahan kepada semua pembeli dan pada masa sama mendakwa pihak pemaju masih belum memberikan tarikh jangkaan projek perumahan itu akan siap.
"Saya antara pembeli terawal pada 2018 projek itu dilancarkan. Kebanyakan pembeli telah mula membayar bayaran penuh kepada pihak bank dengan jumlah RM1,500 sebulan.
"Paling menyedihkan, kami terbeban dengan bayaran sewa rumah sedia ada dan terpaksa membayar rumah yang separuh siap ini.
"Setelah pelbagai usaha termasuk mengadakan demonstrasi aman dilakukan, kami memohon Perdana Menteri dapat membantu menyelesaikan permasalahan kami dengan segera," katanya kepada DagangNews.
Menurut Lina, ada pembeli yang meninggal dunia tidak sempat untuk merasa tinggal di kediaman tersebut dan pembeli yang ketika itu baru berkahwin, kini sudah mempunyai dua cahaya mata, sehingga kini tidak dapat mendiami rumah idaman mereka.
"Ada juga pembeli terpaksa membuat tiga kerja untuk menanggung komitmen untuk membayar ansuran pinjaman perumahan kepada bank yang semakin lama semakin membebankan," katanya. - DagangNews.com