Loji Rawatan Kumbahan Serantau Papan 2 bernilai RM453 juta dirasmikan, Perak kini miliki loji kumbahan termoden | DagangNews Skip to main content

Loji Rawatan Kumbahan Serantau Papan 2 bernilai RM453 juta dirasmikan, Perak kini miliki loji kumbahan termoden

RSTP Papan 2 merupakan loji rawatan kumbahan termoden di Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 9 Okt - Daerah Kinta kini mempunyai rangkaian sistem pembentungan yang moden apabila Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) Papan 2 dekat Pusing dirasmikan.

 

Projek RSTP Papan 2 yang menelan kos sebanyak RM453 juta merangkumi kawasan tadahan seluas 195 kilometer persegi melibatkan tiga kawasan utama iaitu bandarraya Ipoh, Gunung Rapat dan Menglembu.

 

Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 penduduk dan mampu menampung sehingga 900,000 penduduk. 

 

Kumbahan
Nik Nazmi (dua dari kiri) diberi penerangan tentang operasi RSTP Papan 2.

 

Jumlah penduduk setara bagi keseluruhan kawasan tadahan dianggarkan akan meningkat kepada 1.5 juta penduduk menjelang tahun 2045.

 

Pembinaan loji itu bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sistem rawatan kumbahan sedia ada yang bersaiz kecil dan tidak efisien, malah membolehkan penyambungan ke sistem rangkaian paip pembetungan daripada kawasan pembangunan baharu.

 

Projek pembinaan loji berskala besar ini juga turut menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records iaitu Stesen Pam Berbentuk Bulat Terbesar dan Stesen Pam Ruang Masuk Terdalam berkedalaman 22 meter dari aras tanah.

 

Loji

 

Projek ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dengan Loyal Engineering Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama reka dan bina serta gabungan Engineering and Environmental Consultant Sdn Bhd (EEC) sebagai perunding.

 

Terdahulu, majlis perasmian RSTP Papan 2 ini telah disempurnakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo Kim; Ketua Pengarah JPP, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Indah Water Konsortium Sdn.Bhd., Narendran Maniam.- DagangNews.com