KUALA LUMPUR 6 Mei - Lonjakan harga koko global baru-baru ini, yang disebabkan kekurangan bekalan telah menjejaskan seluruh rantaian bekalan syarikat coklat tempatan.
Syarikat-syarikat kecil dilihat berhati-hati dalam perancangan mereka, dan situasi turut diburukkan dengan musim hujan lebat serta penyakit yang melanda tanaman koko di negara pengeluar utama koko seperti Ghana dan Ivory Coast.
Kalangan pakar percaya turun naik harga dan manipulasi dalam pasaran akan menyebabkan kebimbangan masa depan industri koko, dan cabaran lain yang mungkin timbul seperti penurunan kadar kemampuan, tekanan kos kepada pengeluar, kesan terhadap peladang, gangguan rantaian bekalan serta kualiti dan kebimbangan terhadap isu kemampanan.
Dilaporkan bahawa bekalan koko global dijangka menyusut kirakira 11 peratus bagi tempoh 2023-2024, berdasarkan penemuan Pertubuhan Koko Antarabangsa.
Pada 19 April, 2024, harga komoditi untuk menghasilkan coklat itu melonjak empat kali kepada AS$12,218 satu tan (RM57,741.75) daripada AS$3,515.2 satu tan (RM16,612.68) pada 2 Jan 2024, menurut tradingeconomics.com.
Bagaimanapun, harga pasaran berada di paras AS$7,878.8 (RM37,237.53) satu tan pada 3 Mei 2024.
Pada tahun 1980-an, Malaysia merupakan antara pengeluar koko terkemuka dunia. Bagaimanapun, pada masa ini, negara ini bergantung hampir 98 peratus kepada import koko untuk kegunaan berikutan Afrika Barat telah menguasai pasaran koko untuk tempoh yang lama.
Selain itu, negara lain di Asia Tenggara seperti Indonesia kini mengatasi Malaysia dengan menjadi pengeluar utama koko yang baharu, diikuti Vietnam.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani baru-baru ini berkata sektor koko di negara ini masih belum mencapai tahap ‘self-sustained’ yang baik, dengan pengeluaran biji koko di negara ini jatuh dengan begitu ketara.
“Satu ketika dahulu pengeluaran biji koko Malaysia pernah mencapai sebanyak 225,000 tan berbanding sekarang hanya sekitar 500 tan.
“Pengeluaran biji koko Malaysia yang dilihat semakin rendah ini telah menyebabkan banyak permintaan industri yang menghasilkan produk koko, kini terpaksa mengimport biji koko dari luar negara,” katanya.
Menurut pengasas kilang Coklat Benns Ethicoa Wilfred Ng Chee Wai, sejak 40 tahun lepas, biji koko merupakan salah satu komoditi yang paling rendah nilainya.
“Afrika Barat menghasilkan sehingga 70 peratus koko, tetapi peladang mereka menerima upah yang rendah, yang menjadi penyumbang utama kepada kemiskinan, perhambaan, dan buruh kanak-kanak.
“Ramai peladang terpaksa mencari tanaman alternatif untuk menampung kehidupan, mengakibatkan penurunan bekalan koko sejak beberapa dekad. Bagaimanapun, paras harga yang tinggi sekarang ini membawa kegembiraan kepada mereka, apabila akhirnya koko dijual pada harga yang lebih berpatutan dan menjana keuntungan yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
MANFAAT KEPADA PEKEBUN KECIL, PELADANG
Menurut Ng pendapatan baharu ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup tetapi turut membolehkan mereka mempelajari teknik pertanian yang lebih baik bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti tanaman dalam jangka panjang.
“Sudah tiba masanya petani diberi upah yang setimpal atas kerja keras dan dedikasi mereka terhadap industri koko,” katanya.
Sementara itu, ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams berkata koko yang dihasilkan pekebun kecil mungkin mendapat harga yang lebih baik dalam jangka pendek, tetapi kos yang lebih tinggi ini akhirnya akan dikenakan kepada pengguna.
“Keadaan ini mungkin mampu merangsang pengeluaran tambahan, tetapi hanya jika keadaan sebegini dapat bertahan lama, ini kerana anda tidak boleh menanam dan menuai koko semalaman sahaja.
"Jadi, untuk jangka pendek, akan berlaku pengambilan untung dengan mengorbankan pelanggan dan pekebun kecil," katanya kepada Bernama.
Menurut William lonjakan harga koko ketika ini ekoran keadaan cuaca namun terdapat isu struktur yang berlarutan dalam pengeluaran koko.
“Kebanyakan penanam, sekitar 90 peratus, terdiri daripada pekebun kecil yang mempunyai kuasa pasaran yang terhad. Mereka terpaksa menerima harga rendah yang ditentukan oleh syarikat-syarikat besar dan mendapat kurang daripada 10 peratus daripada harga akhir.
"Disebabkan keadaan ini, pendapatan mereka kekal rendah dan tidak mampu untuk melabur dalam produktiviti yang lebih baik atau kadar pengeluaran yang lebih tinggi," katanya, sambil menambah, situasi ini mengehadkan bekalan, dengan kadar 60 hingga 70 peratus koko dikeluarkan oleh Afrika Barat.
“Semua ini adalah disebabkan oleh pasaran yang tidak berfungsi dan pembelian yang tidak adil dilakukan syarikat-syarikat besar. Ini perlu diubah jika kita mahukan harga yang lebih baik," katanya.
KESAN RANTAIAN BEKALAN
Mengulas lanjut berkaitan kesan lonjakan harga kepada pengeluar coklat, Ng berpandangan jika keadaan ini berterusan, pengeluar akan berhadapan cabaran seperti peningkatan kos pengeluaran, tekanan untuk menaikkan harga, penurunan permintaan pengguna disebabkan harga coklat semakin mahal dan tekanan terhadap rantaian bekalan disebabkan harga yang turun naik.
“Untuk kekal berdaya saing dan relevan, pengeluar coklat perlu menggunakan pelbagai strategi. Malah ada yang mempertimbangkan bahan alternatif untuk menggantikan koko, namun ia berpotensi menjejaskan kualiti produk mereka,” katanya.
Ng juga berkata kenaikan harga biji koko, bahan utama pembuatan coklat, secara langsung memberi kesan kepada kos bahan mentah coklat, menyebabkan pengilang memerlukan peningkatan aliran tunai untuk mendapatkan sumber penting ini.
“Oleh itu, jika harga coklat perlu meningkat, pengguna terpaksa membayar lebih untuk hidangan kegemaran mereka. Peralihan ini akhirnya boleh memperlahankan permintaan, dan paras harga semasa telah memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian bekalan,” tambahnya.
Ng berkata syarikat pengeluar coklat mungkin mengambil pendekatan utama dengan mengurangkan kos di tengah-tengah kenaikan harga koko.
“Sesetengahnya mungkin memilih untuk mengecilkan atau mempelbagaikan perniagaan bagi mengurangkan kesannya. Di Benns Ethicoa, kami menyedari kepentingan pengurusan kos, tetapi kami juga percaya kepada penciptaan berterusan nilai produk dan tawaran yang unik untuk mewajarkan harga yang lebih tinggi dan merangsang permintaan.
“Sekadar menaikkan harga produk sedia ada boleh menyebabkan permintaan berkurangan. Oleh itu, kami komited untuk memacu penyelidikan dan pembangunan, meningkatkan penglibatan pengguna, dan memperkaya pengalaman coklat secara keseluruhan,” katanya. - DagangNews.com