LPI Capital rekod untung bersih RM97.37 juta bagi 3QFY23 didorong prestasi cemerlang segmen insurans am | DagangNews Skip to main content

LPI Capital rekod untung bersih RM97.37 juta bagi 3QFY23 didorong prestasi cemerlang segmen insurans am

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - LPI Capital Berhad merekodkan untung bersih sebanyak RM97.37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM79.18 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu juga melaporkan pendapatan sebanyak RM498.4 juta pada suku itu berbanding RM434.05 juta pada 3QFY22 disokong oleh prestasi cemerlang dalam segmen insurans am.

 

Bagi suku tersebut, unit insurans milik penuh kumpulan itu, Lonpac Insurance Berhad, melaporkan keuntungan yang bertambah baik disebabkan pulangan lebih tinggi daripada portfolio pelaburannya dan hasil perkhidmatan insurans yang lebih baik.

 

"Hasil perkhidmatan insurans Lonpac meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada RM88.5 juta daripada RM85.3 juta, disebabkan oleh nisbah tuntutan bersih yang lebih rendah yang ditanggung pada 39.4% berbanding 43.4% yang dilaporkan pada suku ketiga 2022.

 

"Kedua-dua segmen perniagaan insurans motor dan marin mencatatkan peningkatan dalam tuntutan bagi suku dalam tinjauan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sepanjang sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Sept 2023, kumpulan itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM235.15 juta, peningkatan RM197.61 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.42 bilion daripada RM1.25 bilion pada asas tahun ke tahun.

 

Risiko makroekonomi global seperti kesan kadar faedah yang lebih tinggi dan ketegangan geopolitik berkemungkinan berterusan dalam jangka masa terdekat.

 

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa ini didorong oleh pertumbuhan domestik yang dijangka dapat dikekalkan oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan, pemulihan sektor pelancongan dan pelancaran projek infrastruktur kerajaan.

 

"LPI akan terus mengejar pertumbuhan dalam segmen yang menguntungkan dan meningkatkan kecekapan operasi melalui transformasi digital kumpulan yang berterusan.

 

"Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, kumpulan akan terus melaksanakan inisiatif strategiknya secara berhemat dan menyampaikan pertumbuhan yang mampan untuk FY23," katanya. - DagangNews.com