LTAT sedia berunding dengan 3 kesatuan pekerja bagi hentikan piket | DagangNews Skip to main content

LTAT sedia berunding dengan 3 kesatuan pekerja bagi hentikan piket

KUALA LUMPUR 27 Julai - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersetuju mengadakan rundingan dengan tiga kesatuan pekerja bagi menghentikan piket oleh kakitangan daripada kumpulan sokongan LTAT yang diadakan sejak kelmarin.

 

LTAT dalam kenyataan berkata, rundingan akan diadakan bersama wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) , Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Kakitangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KKLTAT), hari ini.

 

Katanya, perkara itu dipersetujui selepas Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman serta pengurusan kanan LTAT turun ke pekarangan bangunan bertemu tiga wakil kesatuan ketika piket berlangsung di hadapan bangunan LTAT, semalam.

 

Mereka terdiri daripada Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat; Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani serta Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor.

 

"Berikutan kehadiran Ketua Eksekutif LTAT, aktiviti piket yang sedang berjalan diberhentikan bagi memberi ruang kepada pengurusan LTAT untuk duduk bersama dengan pihak yang berkepentingan.

 

"Pengurusan LTAT menyatakan kesediaannya untuk memberi penerangan yang sewajarnya dan menjalankan perbincangan bersama wakil daripada CUEPACS, MTUC dan KKLTAT pada keesokan hari bagi mencari hala tuju penyelesaian kepada perkara ini," katanya.

 

ltat

 

Terdahulu, kira-kira 100 kakitangan daripada kumpulan sokongan LTAT mengadakan piket di hadapan bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, di sini, mendakwa pihak pengurusan tidak melayan beberapa isu mereka termasuk bayaran gaji diterima di bawah paras kemiskinan.

 

Difahamkan, piket aman di hadapan bangunan LTAT itu akan diadakan sehingga Jumaat ini bermula jam 1 tengah hari hingga 2 petang. - DagangNews.com