Luno Malaysia catat peningkatan 11.3% kepada 800,000 pelanggan pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Luno Malaysia catat peningkatan 11.3% kepada 800,000 pelanggan pada 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Bursa aset digital terkawal terkemuka di Malaysia, Luno melaporkan mempunyai lebih 800,000 pelanggan pada akhir 2022, yang mana menunjukkan peningkatan lebih 11.3% berbanding tahun sebelumnya.

 

Luno Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, sebaliknya jumlah pembayaran yang diproses pada 2022 adalah lebih RM9 bilion dan kini menyimpan nilai lebih RM1.2 bilion bagi pihak pelanggannya merentasi sembilan aset digital yang diluluskan.

 

Dari perspektif jantina katanya, pelanggan lelaki terdiri daripada segmen terbesar pada 76.5%, manakala penyertaan wanita menyumbang 23.5%.

 

"Bagi pelanggan wanita, ini mewakili peningkatan hampir 60,000 berbanding 120,000 pelanggan wanita yang dilaporkan oleh Luno pada 2021, mencerminkan penekanan berterusan Luno ke arah memperkasakan pelaburan kripto untuk semua, serta trend perwakilan yang lebih meluas," katanya.

 

Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang berkata, pihaknya kekal komited membantu rakyat Malaysia melabur dalam kripto dengan selamat dan bertanggungjawab, serta menjadikan sumber pendidikan kripto dapat diakses oleh semua. 

 

"Sebagai contoh, dedikasi kami ke arah menjadikan aplikasi Luno dalam bahasa Melayu kini menyaksikan lebih 18,000 pelanggan terlibat dalam pelaburan kripto menggunakan BM sebagai bahasa aplikasi utama mereka, dan kami pastinya tidak sabar untuk meneruskan usaha dalam menjangkau rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya.

 

Menurut Tang, Luno secara konsisten menyokong dan membina landskap digital Malaysia melalui kerjasama rapat dengan pengawal selia tempatan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC). 

 

 

luno
                                               Aaron Tang

 

 

Katanya, mengikut keperluan SC, dana pelanggan daripada Luno Malaysia diasingkan daripada dana korporat, dan disimpan dengan selamat mengikut prinsip peneraju industri. 

 

"Pematuhan ketat Luno terhadap peraturan tempatan memberikan semua pelabur ketenangan fikiran dalam membina lagi portfolio pelaburan mereka," katanya.

 

Pada 2022, Luno menjadi rakan kongsi pelaburan kripto rasmi dan penaja bersama Liga Super Malaysia (MFL) dan Piala Malaysia. 

 

Luno memperoleh jumlah pendedahan jenama lebih 181 juta penonton melalui platform penyiaran dan jumlah kehadiran stadium dalam jangka masa yang sama mencecah lebih 1.3 juta.

 

Selain itu, Luno melancarkan kempen 'Move with Luno' dengan pelantikan penerjun Olimpik, Datuk Pandelela Rinong dan pemain bola sepak negara, Zaquan Adha sebagai duta untuk terus mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran mengenai topik aset digital dan pelaburan. - DagangNews.com