LYC Healthcare lengkapkan pengambilalihan baki kepentingan dalam dua klinik pakar Singapura | DagangNews Skip to main content

LYC Healthcare lengkapkan pengambilalihan baki kepentingan dalam dua klinik pakar Singapura

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - LYC Healthcare Berhad berjaya melengkapkan pengambilalihan baki 49% pegangan dalam klinik pakar Singapura, T&T Medical Group Pte Ltd (T&T) dan HC Orthopedic Surgery Pte Ltd (HCOS).

 

LYC berkata, pengambilalihan itu selesai pada 10 Oktober 2022 melalui unitnya YC Medicare (Singapore) Pte Ltd (LYC Medicare SG).

 

Kumpulan itu pada mulanya telah memperoleh 51% kepentingan dalam T&T dan HCOS pada akhir 2020 untuk meningkatkan penawaran perkhidmatan penjagaan kesihatannya dan mengembangkan kehadiran pasarannya dalam sektor penjagaan kesihatan Singapura. 

 

T&T dan HCOS menyediakan perkhidmatan perubatan am dan khusus terutamanya dalam segmen penyakit kronik dan osteoporosis.

 

Sejak pengambilalihan awal, sebuah klinik ortopedik baharu oleh HCOS telah ditubuhkan di Parkway East Hospital.

 

Ini menjadikan jumlah klinik di bawah HCOS kepada dua, termasuk satu yang terletak di Hospital Mount Elizabeth.

 

Selain itu, perkhidmatan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Tomografi Berkomputer (CT) telah diperkenalkan dalam T&T.

 

Pengarah Urusan LYC  dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, David Sui Diong Hoe berkata, pengambilalihan itu akan membawa syarikat selangkah lebih dekat dalam mencapai matlamatnya untuk menyenaraikan LYC Medicare SG di papan Catalist Bursa Singapura (SGX).

 

"Kerja-kerja penyediaan bersama penasihat kami sedang berjalan dengan baik dan kami berharap dapat menyelesaikan latihan penyenaraian awal tahun depan.

 

"Memanfaatkan kepakaran dan pengalaman T&T dan HCOS dalam bidang perubatan, kami percaya kami boleh menarik lebih ramai pelanggan dengan meluaskan kehadiran perniagaan kami merentasi lokasi baharu, menambah baik kemudahan kami dan menjana lebih banyak rujukan daripada hospital dan doktor lain,” katanya. - DagangNews.com