Lynas umum rancangan penutupan operasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Lynas umum rancangan penutupan operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Okt - Firma Australia, Lynas Rare Earths mengumumkan rancangan untuk menutup semua operasi di Malaysia secara sementara, kecuali sebuah kilang memproses nadir bumi karbonat pada suku berakhir Disember, dengan pengeluaran minimum bahan mentah yang akan diproses semasa penutupan itu.

 

Saham syarikat perlombongan itu jatuh setinggi 2.7% kepada A$6.24, tahap terendah sejak 3 Mei lalu.

 

Operasi Lynas di Malaysia menjadi masalah kepada syarikat itu, dengan kerajaan telah menyuarakan kebimbangan terhadap paras radiasi daripada aktiviti perekahan dan larut lesap sejak beberapa tahun lalu, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan amaran mengenai dasar untuk melarang eksport bahan mentah nadir bumi.

 

Ia akan melaksanakan naik taraf terhadap operasi hiliran di Lynas Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran neodymium-praseodymium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.

 

Naik taraf itu penting jika lesen operasi syarikat itu di Malaysia, yang menetapkan syarat melarang pelombong daripada mengimport dan memproses bahan mentah nadir bumi mulai 2024, dikemas kini untuk membenarkan import dan memproses lantanid, katanya.

 

Semasa penutupan itu, yang bermula pada pertengahan November untuk menyiapkan kerja-kerja naik taraf, kakitangan daripada kilang perekahan dan larut lesap akan diarahkan untuk membantu proses permulaan kemudahan memproses nadir bumi di Kalgoorlie, Australia Barat.

 

Lynas, yang lesen operasinya di Malaysia telah dilanjutkan sehingga Januari 2024, berkata permohonan penangguhan bagi membolehkannya beroperasi seperti biasa di Malaysia sambil rayuan pentadbiran dan undang-undang didengar serta diputuskan, telah disenaraikan untuk pendengaran pada November, menurut laporan Reuters.

 

Pengeluar nadir bumi terbesar selain China itu juga melaporkan penurunan 21.8% hasil jualan suku pertama kepada A$128.1 juta.

 

Ia tidak mencapai anggaran konsensus A$159 million, menurut Barrenjoey.

 

"Laporan pengeluaran itu dilihat sedikit kurang memberangsangkan dan banyak isu penyelenggaraan berlaku yang tidak membantu," kata penganalisis pasaran kanan di Marcustoday, Henry Jennings.

 

Pengeluaran NdPr pada suku dikaji adalah 1,526 tan oksida nadir bumi (REOt), berbanding dengan 1,045 REOt setahun lalu. - DagangNews.com