MAG lancar platform digital pelancongan dan gaya hidup, Journify | DagangNews Skip to main content

MAG lancar platform digital pelancongan dan gaya hidup, Journify

 

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan Journify, platform digital sehenti bagi pelancongan dan gaya hidup yang menyediakan penyelesaian menyeluruh perjalanan. 

 

Ini secara tidak langsung turut melengkapkan kekuatan dan kepakaran kumpulan dalam perniagaan perkhidmatan sistem penerbangan dan penerbangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail berkata, Journify bersedia mengubah pengalaman pelanggan menerusi platform digital dan menawarkan penyelesaian pengalaman perjalanan kepada pengguna.

 

Katanya, antaranya termasuklah memberi akses maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang bersesuaian dengan keutamaan dan keperluan mereka.

 

"Journify membuktikan kejayaan penting dalam perjalanan transformasi MAG ke arah menjadi kumpulan perkhidmatan pelancongan dan penerbangan terkemuka di Asia.

 

“Malah, Journify berbangga memperkenalkan pengalaman yang pertama seumpamanya menerusi perkhidmatan Journify2U, membolehkan pelanggan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mendapatkan produk yang dibeli menerusi aplikasi Journify dan diserahkan kepada mereka di ruang berlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Platform itu menawarkan lebih 10 kategori pilihan, antaranya kafe dan restoran, outlet hiburan, tarikan pelancong dan pusat beli-belah.

 

Pada masa sama, Journify turut menawarkan pelanggan Enrich Points bagi setiap urus niaga yang dilakukan menerusi platform ini yang boleh digunakan untuk menebus penginapan di hotel, baucar makanan dan minuman, akses kepada Golden Lounge, baucar membeli-belah dalam talian, saringan perubatan, penerbangan percuma dan pelbagai ganjaran lain. - DagangNews.com