MAH : Harapan industri pelancongan makin ‘malap’ | DagangNews Skip to main content

MAH : Harapan industri pelancongan makin ‘malap’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Industri pelancongan dan hotel sekali lagi dibiarkan tanpa bantuan apabila banyak negeri dikenakan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Itu luahan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang memohon kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa cadangan mereka sebelum menguatkuasakan sekatan bagi membolehkan industri itu ‘bernafas’. 

 

Jelas MAH, dengan situasi semasa yang telah memutuskan semua aliran hasil, industri itu sanggup untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat seperti had kapasiti lebih rendah atau dua orang setiap meja, serta tempoh makan yang terhad.

 

“Industri ini memahami keperluan untuk sekatan berkenaan, tetapi percaya bahawa terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam mengimbangi nyawa dan mata pencarian. Sejak permulaan bulan Ramadan, hotel telah mengubahsuai bufet berbuka puasa mengikut norma baharu dengan SOP tambahan dikuatkuasakan untuk memastikan kebersihan dan keselamatan tetamu. 

 

“Larangan menyeluruh untuk makan di hotel meletakkan industri itu dalam keadaan sukar dengan hanya beberapa hari untuk menyusun semula apa yang dirancang sepanjang bulan. Hotel-hotel bukan hanya ditinggalkan dengan bekalan berlebihan yang mudah rosak tetapi juga tenaga kerja komited untuk tempoh tersebut.

 

“Kerajaan tidak menawarkan sokongan atau bantuan, membiarkan hotel berdepan pembatalan yang dibuat untuk tempahan bilik yang dirancang bagi cuti Hari Raya,” jelas persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pada tahun lalu, MAH mendakwa industri perhotelan mencatatkan kerugian minimum RM135 juta dalam hasil makanan dan minuman memandangkan PKP dikuatkuasakan pada sepanjang bulan Ramadan.

 

Sehubungan itu, MAH menggesa Malaysia untuk merancangkan sistem subsidi yang sistematik untuk perniagaan terjejas akibat PKP. 

 

“Kami telah menyaksikan situasi serupa di beberapa negara lain dan kerajaan mereka menyediakan subsidi untuk perniagaan yang rugi kerana tidak boleh beroperasi mengikut waktu atau jumlah perniagaan yang terjejas, mana-mana berkenaan.

 

N Subramaniam
N. Subramaniam

 

“Kerajaan juga perlu mempercepatkan rancangan vaksinasi terutamanya buat barisan hadapan sektor ekonomi seperti pekerja hotel dan mencari cara untuk memperoleh lebih banyak vaksin. 

 

“Pada kadar ketika ini, dilihat sukar untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat,” jelas Presiden MAH, Datuk N. Subramaniam menerusi kenyataan sama. 

 

Sementara itu, persatuan berkenaan juga mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan saringan besar-besaran dan mengasingkan mereka yang disahkan positif bagi mengelakkan penularan.

 

Tambah MAH, walaupun PKP diperlukan, namun ia tidak menangani atau mengelak penularan daripada individu yang tidak bergejala. - DagangNews.com