KUALA LUMPUR 19 Jun - Mah Sing Group Berhad telah membeli tanah pegangan bebas seluas 500 hektar di Semenyih untuk bangunkan perbandaran bersepadu dinamakan Glengowrie Estate dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.3 bilion.
Dalam satu kenyataan, Mah Sing berkata rumah bertanah dua tingkat dengan harga indikatif bermula daripada RM446,800 akan dibangunkan di tanah yang dibeli pada RM392 juta itu.
Selain itu, perbandaran bersepadu di Lembah Klang itu akan dilengkapkan dengan kemudahan terancang dan lot komersial.
“Glengowrie Estate dibayangkan sebagai sebuah perbandaran bersepadu dan mampan di Semenyih, di mana gaya hidup penduduk serba lengkap dan tidak memerlukan mereka melakukan perjalanan jauh untuk memenuhi keperluan harian mereka.
“Dengan lokasi strategik di Semenyih dan kira-kira 30 minit dari Kuala Lumpur, kami percaya pembangunan ini akan menarik minat pembeli rumah kali pertama yang lebih suka tinggal di perbandaran serba lengkap jauh dari bandar dan sesuai untuk keluarga muda yang tinggal bersama anak dan ibu bapa mereka,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum.
Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan pemenuhan syarat terdahulu, pembangunan yang dicadangkan itu dijangka bermula pada suku ketiga 2024 dan akan dibangunkan dalam tempoh 8 hingga 10 tahun.
Sementara kawasan itu dibangunkan dengan kemudahan runcit dan komersial, Mah Sing berkata Glengowrie Estate pada masa ini terletak berdekatan dengan kemudahan sedia ada seperti institusi pendidikan, pusat membeli-belah, pasar raya dan kemudahan lain.
Pembelian tanah ini menandakan pengambilalihan tanah ketiga Mah Sing bagi tahun ini selepas tanah 75.7 hektar di Johor pada 13 Jun dengan GDV sekitar RM480 juta dan tanah 8 hektar di Puchong pada GDV kira-kira RM726 juta pada Januari lalu.
Pengambilalihan itu akan meningkatkan tanah simpanan utama Mah Sing kepada 2,418 hektar, dengan jumlah baki GDV dan jualan belum dibilkan sebanyak RM26.9 bilion.
Disokong oleh kunci kira-kiranya yang kukuh, Mah Sing berkata ia terus mengintai lebih banyak tanah dengan keutamaan diberikan kepada tanah sesuai untuk kediaman M Series mampu milik bertanah dan berstrata, serta pembangunan perindustrian. -DagangNews.com