KUALA LUMPUR 3 Julai - Mah Sing Group Bhd membeli tanah di Taman Desa, Kuala Lumpur berharga RM108 juta yang akan dibangunkan sebagai apartment servis dan projek kediaman.
Pembangunan yang dirancang itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.01 bilion.
Mah Sing merancang untuk membangunkan tanah itu dalam dua fasa dengan fasa pertama ialah 1,600 apartment servis di atas tanah seluas 1.49 hektar yang dikenali sebagai M Aspira dan fasa kedua, Residensi Madani di bawah program rumah mampu milik yang akan menawarkan sekitar 800 unit rumah di atas tanah seluas 0.99 hektar.
M Aspira, yang akan mempunyai tiga susun atur berbeza akan dibuka untuk pendaftaran pada suku ketiga 2024 dan dijangka berharga bermula RM448,800.
Pengambilalihan itu menandakan perjanjian ketiga Mah Sing pada 2024, selepas ia memperoleh tanah Sepang dengan harga RM100.72 juta dan tanah Pulai dengan harga RM103.7 juta.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata Taman Desa yang terletak di luar Jalan Klang Lama dan Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, menjadi kawasan tumpuan sejak pembangunannya pada 1970an.
"Lokasi utamanya menawarkan akses mudah ke pusat bandar, Mid Valley Megamall, KL Sentral dan Bangsar serta pinggir bandar utama seperti Petaling Jaya dan Cheras.
"Kami menyasarkan untuk mengekalkan momentum ini dan terus memperoleh tanah strategik di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang apabila peluang yang sesuai muncul," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehingga 31 Mac 2024, Mah Sing mempunyai nisbah penggearan bersih sebanyak 0.06 kali dan RM966 juta dalam bentuk tunai dan baki bank, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan pengambilalihan tanah strategik, mengutamakan aset yang mampu memberikan pulangan yang cekap.
Sementara itu, Hoy Kum percaya, terdapat permintaan kukuh untuk projek itu kerana ini adalah antara tanah pembangunan terakhir di lokasi matang di Kuala Lumpur.
Sasaran pasaran termasuk profesional yang bekerja, pelabur muda, keluarga kecil dan kumpulan pendapatan M40 (40%).
"Kejiranan sekitar kebanyakannya mempunyai projek kediaman yang lebih lama dan sudah tiba masanya untuk kami menawarkan rumah yang direka bentuk dengan baik dengan konsep dan kemudahan yang baik untuk pembeli rumah kali pertama,” katanya. - DagangNews.com