MAH Terengganu sasar 80% kadar penghunian bilik di 37 hotel naungannya tahun ini | DagangNews Skip to main content

MAH Terengganu sasar 80% kadar penghunian bilik di 37 hotel naungannya tahun ini

Perhentian Marriott Resort and Spa
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 12 Sept - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu menyasarkan kadar penginapan di 37 hotel yang bernaung di bawahnya akan terus meningkat kepada 80 peratus pada tahun ini.

 

Pengerusinya, Suaibah Harun berkata, berdasarkan data MAH Terengganu, kadar purata penginapan di kebanyakan hotel tersebut adalah sekitar 60 hingga 65 peratus pada 2023.

 

Menurutnya, ketika ini, MAH Terengganu menawarkan lebih 3,739 bilik penginapan di 37 hotel seluruh negeri itu termasuk di pulau-pulau peranginan.

 

"MAH Terengganu sentiasa proaktif memperkenalkan pelbagai promosi untuk menarik kedatangan pelancong menginap di hotel kami.

 

"MAH Terengganu juga bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk memberi diskaun istimewa untuk beberapa acara tertentu," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

 

Suaibah Harun
                                Suaibah Harun

 

 

Antara hotel yang berdaftar dengan MAH Terengganu ialah Primula Beach Hotel, Permai Hotel, Paya Bunga Hotel, Duyong Marina & Resort, The Grand Puteri Hotel, Am Transit Inn, Sumai Hotel Apartments dan Felda Residence Kuala Terengganu.

 

Di pulau pelancongan pula, antara hotel dan resort naungan MAH Terengganu ialah Laguna Redang Island Resort, The Taaras Beach & Spa Resort, Pulau Redang dan Perhentian Marriott Resort and Spa.

 

Mengulas lanjut, Suaibah berkata, penganjuran banyak acara pelancongan berskala besar juga turut membantu MAH Terengganu dalam mencapai sasaran kadar huni yang ditetapkan sepanjang tahun ini.

 

 

wasiyyah
Sebuah bot di Pulau Redang, Terengganu. - Gambar  Zhen zz 

 

 

"Contohnya pada 13 dan 14 September ini, akan berlangsungnya acara sukan permotoran RXZ Members yang turut memberi impak positif terhadap industri perhotelan di Terengganu.

 

"Setakat ini, tempahan bilik penginapan di beberapa hotel telah penuh dan saya percaya rumah inap desa juga akan menerima impaknya dengan kadar tempahan yang tinggi," katanya.

 

Selain itu, MAH Terengganu juga katanya telah melakukan banyak penambahbaikan dari segi kualiti dan perkhidmatan di hotel masing-masing untuk memuaskan hati pelancong.

 

 

Primula Beach Hotel
Primula Beach Hotel

 

 

"Dalam Anugerah Industri Pelancongan 2024 baru-baru ini, tiga hotel di Terengganu telah memenangi tiga hadiah utama iaitu Primula Beach Hotel diiktiraf sebagai 'Hotel Amalan Lestari Terbaik'.

 

"Dua lagi ialah Permai Hotel Kuala Terengganu diiktiraf juara kategori 'Best City Hotel dan Paya Bunga Hotel pula mengungguli kategori 'Best Family City Hotel'," katanya. - DagangNews.com