MAHB jalankan tender terbuka untuk 226 lot komersial | DagangNews Skip to main content

MAHB jalankan tender terbuka untuk 226 lot komersial

 

 


KUALA LUMPUR 14 Dis - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sedang menjalankan tender terbuka untuk 226 lot komersial berikutan peningkatan baru-baru ini dalam pergerakan trafik udara hasil daripada pelonggaran sekatan perjalanan udara.

 

Buat masa ini, lapangan terbang di seluruh negara mempunyai sejumlah 808 cawangan komersial, dengan kira-kira 70% telah ditender sebelum ini dan sebahagian besar daripadanya sudah dianugerahkan.

 

Dalam melaksanakan inisiatif penetapan semula komersial kumpulan, bahagian terakhir tender untuk 226 lot ini adalah fasa penutup untuk menarik kedua-dua pemain tempatan dan global untuk mengambil bahagian dalam menawarkan jenama baharu di lapangan terbang seluruh negara.

 

MAHB menyasarkan untuk meningkatkan tawaran peruncitan dan menyediakan pengalaman perjalanan yang unik kepada tetamu lapangan terbang. 

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, sebelum tercetusnya pandemik COVID-19, segmen bukan aeronautik membentuk kira-kira separuh daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Pada 2019, katanya, sebanyak 47% daripada pendapatan disumbangkan menerusi segmen ini termasuk perniagaan runcit dan komersial. 

 

"Inisiatif penetapan semula komersial dikenal pasti sebagai misi penting dan pelaksanaannya diteruskan walaupun terdapat kesan wabak ini kepada prestasi kewangan kumpulan.

 

"Kami mahu memastikan kami bersedia untuk mengalu-alukan kepulangan penumpang dengan tawaran dan pengalaman runcit baharu yang menarik, justeru, kami mengalu-alukan jenama antarabangsa dan tempatan untuk membantu merealisasikan objektif penetapan semula komersial ini," katanya. - DagangNews.com