MAHB lantik pemangku CEO di lapangan terbang antarabangsa ISG | DagangNews Skip to main content

MAHB lantik pemangku CEO di lapangan terbang antarabangsa ISG

Berk Albayrak
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 April - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengumumkan Berk Albayrak sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk menerajui Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) berkuatkuasa hari ini. 

 

Ini susulan perletakan jawatan Ersel Goral yang telah berkhidmat di ISG sejak 2017.

 

Menurut CEO kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, Goral telah berkhidmat sebagai CEO ISG sepanjang 3.5 tahun lalu dan menyumbang kepada kemajuan serta pertumbuhan organisasi di lapangan terbang tersebut. 

 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas usaha dan kepemimpinannya dan bagi pihak Lembaga dan pengurusan, kami mengucapkan yang terbaik dalam usaha beliau pada masa akan datang,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Sementara itu, MAHB menjelaskan Albayrak yang merupakan jurutera awam dari segi kerjayanya mempunyai 11 tahun pengalaman di ISG dengan memegang beberapa jawatan penting termasuk ketua pegawai operasi dan pengarah perkhidmatan teknikal.

 

Sebelum ini, Albayrak merupakan pengurus jabatan bagi Limak dan GMR Joint Venture, pengarah jabatan pembinaan bagi DHMI Turkey serta pembantu pengurus projek bagi Baki Group of Companies. - DagangNews.com