KUALA LUMPUR 25 Okt - Malaysia Airports Holdings Berhad bersama anak syarikat milik penuhnya, MAHB (Mauritius) Private Limited telah membuat keputusan strategik untuk melupuskan keseluruhan 11% kepentingannya dalam GMR Hyderabad International Airport Limited (GHIAL) kepada GMR Group untuk AS$100 juta (kira-kira RM478.85 juta).
GHIAL adalah syarikat yang menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Hyderabad di India.
MAHB memperoleh kepentingan yang terdiri daripada 41.58 juta saham tersebut dalam GHIAL daripada GMR Group pada 2009 dengan harga AS$10 juta.
Sejak pengambilalihan, kumpulan itu telah mengekalkan kepentingan minoriti pasif dalam usaha niaga terbabit.
MAHB dalam satu kenyataan media berkata penjualan tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelaraskan portfolio pelaburan luar negara dan membuka nilai daripada aset bukan terasnya, sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan antarabangsa kumpulan.
“Hasil daripada pelupusan itu akan digunakan bagi tujuan korporat am dan perbelanjaan modal (capex) dalam aset, di mana MAHB memegang kepentingan secara langsung dan mempunyai kawalan.
“Pendekatan pelaburan semula strategik ini merupakan elemen penting dalam strategi pertumbuhan kumpulan, membolehkannya mengoptimumkan portfolio pelaburannya dan mengukuhkan kawalannya ke atas aset teras dan seterusnya, membawa kepada nilai jangka panjang lebih besar untuk pemegang kepentingan,” tambahnya. - DagangNews.com