MAHB minta kerajaan kaji hasrat lupus pegangan lapangan terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAHB minta kerajaan kaji hasrat lupus pegangan lapangan terbang Subang

Gambar Bloomberg

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meminta kepada kerajaan untuk mengkaji semula sebarang hasrat untuk mencairkan pegangan dalam Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau Skypark di Subang kepada mana-mana entiti swasta. 

 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, ini terutamanya apabila MAHB mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. 

 

Malah, ujar beliau lanjut, beberapa lapangan terbang antarabangsa kendalian MAHB baik di Malaysia mahupun di Turki kerap mendapat pengiktirafan global dalam aspek perkhidmatan dan juga pertumbuhan jumlah penumpang.

 

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir

 

“Selaku Pengerusi Malaysia Airports, saya amat memandang serius berita yang telah disiarkan oleh pelbagai media dan beberapa individu mengenai cadangan kepada pihak kerajaan tentang pengambilalihan LTSAAS Subang oleh pihak swasta.

 

“Lapangan terbang secara umumnya adalah aset strategik hak milik negara, tambah-tambah lagi LTSAAS yang merupakan sebuah lapangan bersejarah negara dan dekat di hati rakyat Malaysia.

 

"Oleh itu, tentulah sebarang langkah dalam membenarkan ia dikendali oleh pihak swasta perlu difikirkan secara mendalam, baik dari segi aspek keselamatan dan pertahanan, mahupun hak milik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, selama kewujudan LTSAAS, lapangan terbang itu telah berjaya menjadi pencetus kepada pembangunan industri penerbangan yang besar buat negara, terutamanya dalam industri aeroangkasa. 

 

Sehubungan itu, pihak MAHB telah memberi perhatian khusus dalam merancang hala tuju jangka panjang LTSAAS di bawah rangka kerja pelan induk ‘Subang Airport Regeneration Master Plan’, katanya.

 

“Saya yakin bahawa setelah mendengar pandangan MAHB dan lain-lain agensi berkaitan, pihak kerajaan tidak akan mengorbankan sebuah aset strategik negara,” tegas beliau. - DagangNews.com