Mahkamah Agung Indonesia arah anak syarikat TDM bayar ganti rugi RM56.68 juta atas tuduhan pembakaran hutan | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Agung Indonesia arah anak syarikat TDM bayar ganti rugi RM56.68 juta atas tuduhan pembakaran hutan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - TDM Berhad menerusi anak syarikatnya, PT Rafi Kamajaya Abadi (PTRKA) diarahkan oleh Mahkamah Agung Republik Indonesia untuk membayar ganti rugi sebanyak RM56,677,646 kepada Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia (MEF) atas tuduhan pembakaran hutan di Pontianak.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Mahkamah Agung negara itu membuat keputusan itu selepas menolak keputusan Pengadilan Tinggi Pontianak.

 

"Keputusan itu menyaksikan PTRKA diarahkan untuk memulihkan persekitaran di kawasan terjejas akibat kejadian kebakaran hutan seluas 2,560 hektar dan mengaktifkan semula sistem ekologi terjejas dengan kos sekitar RM219,250,698

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu telah dimaklumkan oleh PTRKA bahawa penasihat undang-undangnya sedang bersungguh-sungguh menilai bukti baharu dan bersedia untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan itu," katanya.

 

Kumpulan itu sedang menilai kesan kewangannya pengumuman selanjutnya akan dibuat dengan sewajarnya.

 

Pada tarikh pengumuman ini, tiada potensi kesan buruk material ke atas operasi PTRKA, syarikat dan kumpulan.

 

Sementara itu, kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan PTRKA sedang berjalan secara progresif dan pihak-pihak komited bagi menyelesaikan pelupusan tersebut.

 

Pengumuman lanjut akan dibuat apabila terdapat perkembangan material mengenai perkara itu.

 

Sebelum ini, kumpulan itu dan pemegang saham minoriti mencadangkan pelupusan keseluruhan kepentingan ekuiti mereka dalam PTRKA dan PT Sawit Rezeki Abadi (SRA) kepada Ikhasas Sawit Sdn Bhd, sebuah pihak yang dicadangkan oleh Ikhasas CPO Sdn Bhd pada harga RM115 juta. - DagangNews.com