Mahkamah perintah Tan Chong bayar Konsortium Nasional RM22.68 juta | DagangNews Skip to main content

Mahkamah perintah Tan Chong bayar Konsortium Nasional RM22.68 juta

KUALA LUMPUR 20 Julai – Konsortium Nasional dan enam lagi syarikat berjaya memperoleh keputusan mahkamah supaya Tan Chong Motor Holdings Bhd. mengembalikan bas-bas yang diambil balik (repossessed) daripada mereka dan membayar RM22.68 juta.

 

Syarikat tersebut ialah Konsortium Transnational Bhd, Transnasional Express Sdn Bhd, Plusliner Sdn Bhd, Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Bhd (SKMK), Syarikat Rembau Tampin Sdn Bhd (SRT), Kenderaan Langkasuka Sdn Bhd dan sebuah syarikat hartanah, MHSB Properties Sdn Bhd.

 

Dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia, Tan Chong memberitahu Mahkamah Tinggi telah mengarahkannya memulangkan pampasan pengambilalihan tanah sebanyak RM877,000 oleh syarikat milik penuhnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), kepada tujuh syarikat berkenaan.

 

Lima syarikat bas tersebut iaitu Transnasional, Plusliner, SKMK, SRT dan Langkasuka telah berhutang sebanyak RM32.92 juta daripada TCIE dari segi sewa tertunggak dan bil servis untuk pajakan dan penyenggaraan kenderaan-kenderaan.

 

Menurut Tan Chong, perjanjian penyelesaian hutang telah dicapai pada 4 Julai 2016, yang mana penghutang bersetuju menjelaskan bayaran RM16.92 juta secara ansuran tunai kepada TCIE, dan juga memindahkan sebidang tanah di Ampang milik MHSB kepada TCIE bagi melunaskan baki hutang RM16 juta.

 

"Berikutan perjanjian penyelesaian tersebut, satu perjanjian jual dan beli telah dimeterai antara MHSB dan TCIE ada 4 Julai 2016 bagi penjualan tanah berkenaan.

 

"Plaintif telah gagal menjelaskan pembayaran balik baki hutang mengikut masa yang ditetapkan. Maka, TCIE melaksanakan hak mengikut kontrak perjanjian penyelesaian untuk mengambil balik kenderaan yang dipajak oleh penghutang,” kata Tan Chong.

 

Susulan itu, Konsortium Transnasional dan enam syarikat berkenaan memfailkan saman dan perintah injunksi untuk menghalang TCIE daripada melakukan apa-apa urus niaga berkaitan tanah di Ampang tersebut, dan mengisytiharkan tanah itu bernilai RM55.6 juta, serta menuntut pembayaran balik RM22.68 juta daripada Tan Chong, pemulangan kenderaan dan pampasan sebanyak RM877,000 yang dibayar oleh kerajaan yang mengambil sebahagian daripada tanah tersebut.

 

Tan Chong berkata, berdasarkan nasihat para peguamnya, TCIE berpendapat wujud alasan wajar untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi itu.

 

"TCIE telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan notis rayuan dan seandainya gagal lagi, Tan Chong berpendapat kumpulan syarikat berupaya memenuhi komitmen tuntutan berkenaan dan tidak menjangka sebarang impak besar ke atas aset bersih sesaham kumpulan,” kata Tan Chong.

 

Saham Tan Chong ditutup 3 sen atau 2.5% lebih rendah pada tahap RM1.17, memberikan permodalan pasaran kumpulan itu berjumlah RM786 juta, ketika bursa ditutup Isnin, dengan 10,000 saham didagangkan.

 

Konsortium Transnasional pula tidak berubah pada 12 sen sesaham, menjadikan syarikat itu memiliki RM402 juta permodalan pasaran, dengan 148,500 saham bertukar tangan. – DagangNews.com