Mahkamah Tinggi KL arah kerajaan bayar RM231.5 juta kepada Awantec akibat penamatan projek SKIN pada 2019 | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi KL arah kerajaan bayar RM231.5 juta kepada Awantec akibat penamatan projek SKIN pada 2019

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Awanbiru Technology Bhd (Awantec) hari ini mengumumkan bahawa unitnya Prestariang Skin Sdn Bhd (PSKIN) memenangi saman terhadap kerajaan Malaysia dan menerima ganti rugi sebanyak RM231.5 juta.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menyampaikan keputusan Saman Pemula yang difailkan oleh PSKIN pada 22 April 2019 terhadap kerajaan Malaysia hari ini.

 

Hakim menganugerahkan PSKIN sejumlah RM231.5 juta, faedah selepas penghakiman sebanyak 5% setahun daripada jumlah penghakiman yang dikira dari tarikh penghakiman hingga tarikh bayaran penuh jumlah itu dan kos RM80,000.00 yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia.

 

PSKIN memfailkan tuntutan undang-undang berjumlah RM732 juta terhadap kerajaan atas penamatan kontrak sebelah pihak projek SKIN pada April 2019.

 

Kemudian, kumpulan itu berkata, jumlah yang perlu dibayar dikira berdasarkan formula kontrak yang diperuntukkan dalam perjanjian konsesi yang dipersetujui oleh kerajaan.

 

PSKIN memperoleh konsesi selama 15 tahun pada 9 Ogos 2017 daripada kerajaan bagi mereka bentuk, menyampaikan, menyelenggara secara berterusan dan menyediakan naik taraf berjadual untuk sistem imigresen dan kawalan sempadan yang baharu dan lebih baik untuk Jabatan Imigresen Malaysia.

 

Ia adalah untuk menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) sedia ada tetapi dengan fungsi tambahan.

 

Di bawah perjanjian konsesi, PSKIN akan menerima RM3.5 bilion sepanjang tempoh konsesi itu tetapi tertakluk kepada keseluruhan perbelanjaan modal dibiayai secara persendirian oleh mereka.

 

 

Pembayaran kepada PSKIN oleh kerajaan akan dimulakan selepas SKIN beroperasi sepenuhnya.

 

PSKIN menjalankan kajian teknikal yang meluas dan menjalankan projek itu sejak 2014 dan sejumlah besar perbelanjaan telah ditanggung. 

 

Mereka juga telah memeterai banyak kontrak pihak ketiga bagi tujuan pelaksanaan projek itu.

 

Walaupun perjanjian untuk konsesi 15 tahun, kerajaan menamatkan perjanjian konsesi dengan cara rampasan pada 22 Januari 2019.

 

Harga saham kumpulan itu naik hampir 5.9% kepada 54 sen pada tengah hari dan kira-kira 3.9 juta saham bertukar tangan. - DagangNews.com