Majikan tipu Penjana, sila pulangkan semula duit | DagangNews Skip to main content

Majikan tipu Penjana, sila pulangkan semula duit

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 19 Mei - Majikan yang menyalahgunakan insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program PenjanaKerjaya perlu memulangkan semula semua wang yang telah diterimanya, begitu tegas Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan. 

 

Ini berikutan terdapat dakwaan penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh pihak majikan terhadap bantuan yang disalurkan kerajaan itu. 

 

"Ingin ditegaskan bahawa mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

 

"Saya juga mengarahkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan," katanya hari ini. 

 

 

M.Saravanan
M.Saravanan

 

 

Semalam, bekas Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan. 

 

Minggu lalu, Perkeso mengesan video yang mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

 

Video tersebut juga memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

 

M.Saravanan berkata, beliau dimaklumkan bahawa Perkeso telah meneliti dakwaan tersebut dan hasil siasatan awal mendapati terdapat majikan yang tidak bertanggungjawab dan mencuba untuk membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

 

"Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Bagaimanapun, ini merupakan satu taktik yang digunapakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini," katanya. 

 

Beliau memberitau, pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso, dengan 36 pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

 

Kes itu, katanya, kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguatkuasa.

 

"Pihak Perkeso juga telah menasihati Kamache untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut," tambah beliau. 

 

Menurut beliau, sehingga 18 Mei 2021, Perkeso telah menerima 1,758 kes aduan melibatkan bayaran yang meragukan dan isu bayaran gaji pekerja.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas manakala, sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna. Baki 187 kes pula masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

 

Perkeso juga telah menerima sejumlah RM85.1 juta melibatkan lebih daripada 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah dan telah membuat bayaran balik kepada
Perkeso.

 

"Saya memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu," tegasnya. 

 

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso terus komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerajaan selain memberi jaminan bahawa data peribadi yang diterima Perkeso tidak pernah diberikan atau dikongsi kepada pihak ketiga.

 

"Saya menyeru semua pencari kerja tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp ataupun media sosial," katanya.

 

Majikan pula dinasihatkan untuk membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya di laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus, dan tidak melalui mana - mana ejen.

 

Dalam hal ini, katanya, Perkeso tidak pernah melantik orang tengah untuk menguruskan permohonan program ini.

 

"Bahagian Perundangan KSM akan bekerjasama dengan Perkeso untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan," katanya. - DagangNews.com