Majlis gala sambutan ulang tahun ke-60 MACEE perkukuh hubungan akademik dua hala Malaysia, AS | DagangNews Skip to main content

Majlis gala sambutan ulang tahun ke-60 MACEE perkukuh hubungan akademik dua hala Malaysia, AS

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Gala sambutan ulang tahun ke-60 Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) mengukuhkan hubungan akademik dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi bukti transformasi potensi program pertukaran pendidikan.

 

Majlis makan malam yang bertemakan "Kepulangan: Sambutan Diplomasi Pendidikan" itu menonjolkan hubungan yang mendalam dan berkekalan yang dipupuk antara Malaysia dan AS melalui dedikasi MACEE yang tidak berbelah bahagi kepada Program Fulbright yang berprestij.

 

MACEE yang diasaskan pada 28 Januari 1963 melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan AS untuk menggalakkan pertukaran pendidikan dan kebudayaan antara kedua-dua negara, khususnya melalui Program Fulbright.

 

Ketua pengarah kementerian, Prof Dr Azlinda Azman berkata, Program Fulbright yang diuruskan MACEE berpotensi menjadi pemacu utama kepada cita-cita Malaysia dalam bidang pendidikan digital dalam pengajian tinggi.

 

Katanya, ia juga dapat memainkan peranan penting dalam mengemudi usaha penyelidikan kolaboratif ke arah teknologi dan inovasi. 

 

"Dengan mengamalkan pendekatan ini secara aktif, MACEE berpegang memberi sumbangan besar kepada matlamat menyeluruh Malaysia untuk mengembangkan kebolehcapaian pendidikan, meningkatkan kualiti pendidikan, dan melengkapkan tenaga kerjanya untuk era digital.

 

"Dengan berbuat demikian, ia akan meningkatkan lagi perkongsian dan kerjasama antarabangsa dalam landskap pengajian tinggi," katanya dalam kenyataaan media di sini, hari ini.

 

 

MACEE

 

 

Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan AS di Malaysia, Manu Bhalla berkata, pertukaran akademik di negara masing-masing telah memberi peluang untuk mengeratkan hubungan antara dua negara tersebut.

 

"Saya berharap untuk terus memupuk perkongsian pendidikan tinggi yang mantap antara AS dan Malaysia pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Terdahulu, sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif kerjasama masa hadapan turut dimeterai pada majlis tersebut. - DagangNews.com