Makin banyak syarikat Malaysia guna platform digital  | DagangNews Skip to main content

Makin banyak syarikat Malaysia guna platform digital 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - 48 peratus syarikat di negara ini telah mengadaptasi platform digital dalam operasi seharian mereka pada tahun ini, berbanding hanya 19 peratus pada 2020. 

 

Menerusi Tinjauan Bakat Digital 2021 yang dijalankan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), 85 peratus syarikat yang ditinjau telah mengenal pasti keperluan untuk melatih semula pekerja mereka.

 

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran dan Pekerjaan Digital MDEC Dr Sumitra Nair berkata, sejak beberapa tahun lalu, tumpuan telah bertukar daripada produktiviti digital dan pekerja berkemahiran jarak jauh kepada kemahiran teknikal seperti analisis data, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pemasaran digital dan pembangunan perisian.

 

"Ini menunjukkan syarikat-syarikat sedang mempercepatkan proses adaptasi teknologi digital dan menumpukan kepada latihan semula dan peningkatan kemahiran terhadap pekerja mereka dalam teknologi serta aplikasi digital.

 

 "Kesan daripada COVID-19, kerajaan menerusi MDEC telah memperkenalkan inisiatif #MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) pada awal tahun ini untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran rakyat yang hilang pekerjaan untuk sektor pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital. Ini merupakan insentif penggajian dan latihan yang dijangka memberi manfaat kepada 6,000 rakyat Malaysia yang tidak bekerja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Keputusan tinjauan berkenaan telah dikongsi dalam acara Meja Bulat CEO Bakat Digital MDEC yang berlangsung di acara Malaysia Tech Month. 

 

Sesi meja bulat berkenaan melibatkan 25 orang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengurusan kanan syarikat teknologi tempatan dan multinasional serta persatuan industri seperti Persatuan ICT Nasional Malaysia (PIKOM), Persatuan Digital Malaysia dan Inisiatif Penyelidikan (SERI).

 

Tambah Sumitra, sejak beberapa tahun lalu, bakat digital MDEC dan inisiatif yang inklusif telah memberi impak kepada lebih 3 juta rakyat Malaysia menerusi kemahiran digital dan peluang pendapatan. 

 

"Ini merangkumi inisiatif seperti #MyDigitalMaker Movement, eUsahawan, Institusi Teknologi Digital Primer, Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital dan Let’s Learn Digital dan banyak lagi," katanya. - DagangNews.com