Maklumat Banci Pertanian 2024 bakal transformasi industri pertanian negara - DOSM | DagangNews Skip to main content

Maklumat Banci Pertanian 2024 bakal transformasi industri pertanian negara - DOSM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai – Maklumat daripada Banci Pertanian 2024 dijangka menjadi pengubah keadaan yang bakal mentransformasikan industri pertanian dan keterjaminan makanan negara.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Banci Pertanian 2024 yang dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merupakan banci kali keempat dilaksanakan di Malaysia selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2005. 

 

Katanya, pelaksanaan banci ini adalah sejajar dengan resolusi  Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan agar semua negara melaksanakan Banci Pertanian dalam tempoh 2015-2025.

 

"Setelah hampir 19 tahun tidak dilaksanakan, telah banyak proses transformasi yang berlaku dalam sektor pertanian negara dengan menyaksikan perubahan struktur dan perkembangan teknologi pertanian dalam usaha mempersiapkan negara ke arah pembangunan sektor pertanian yang lebih maju, moden dan mampan selaras Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Hadir sama pada majlis pelancaran Banci Pertanian 2024 di MAEPS Serdang adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

 

Kata DOSM, perubahan yang sedang berlaku harus dikenal pasti melalui pelaksanaan Banci Pertanian 2024. 

 

"Jangkaan daripada bancian ini jauh lebih tinggi daripada banci yang sebelumnya bagi keperluan untuk pelbagai maklumat terkini mengenai pengeluaran ladang, corak tanaman, anggaran keluasan tanah berasaskan pola tanaman, sistem pertanian, amalan pengurusan dan kewangan, agro-pelancongan serta profil pengusaha dan ahli isi rumah pertanian yang berfungsi sebagai penanda aras statistik pertanian negara," ujarnya. 

 

Jelas DOSM, bagi meningkatkan pemahaman dan komunikasi secara langsung mengenai pelaksanaan Banci Pertanian 2024, portal banci telah diwujudkan sebagai pusat sehenti statistik pertanian. 

 

Katanya, ia menyediakan satu kandungan yang komprehensif dan interaktif dalam bentuk infografik dan visualisasi bagi masyarakat mendapatkan informasi terkini. 

 

"Setakat 1 Julai 2024, bilangan pelayar yang mengakses portal banci telah mencapai 1.02 juta pelawat," jelasnya.

 

Menurut DOSM, Banci Pertanian 2024 disasarkan untuk mencapai salah satu hasil utama iaitu membangunkan satu Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang akan mengandungi maklumat rantaian pertanian (huluan dan hiliran) yang akan dikemas kini secara berkala. 

 

"Melalui pengintegrasian data daripada pelbagai agensi, ianya diharap dapat menyediakan statistik pertanian yang lengkap, komprehensif dan berkala melalui pelaksanaan survei berkala serta maklumat daripada data pentadbiran. 

 

"Dengan tercapainya hasil banci pertanian akan menjadikan negara bergerak ke arah agenda pertanian melalui pembuatan keputusan berasaskan bukti selaras dengan keperluan dan perubahan persekitaran yang menuntut data yang holistik, komprehensif, relevan dan bertepatan masa," jelasnya.

 

Menurut kenyataan media itu, DOSM berkata, kejayaan Banci Pertanian 2024 sememangnya memerlukan kerjasama semua pengusaha isi rumah, institusi dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian. 

 

Justeru, katanya, semua pihak yang terlibat di seluruh negara diseru memberi kerjasama penuh dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang akan dilaksanakan bermula pada 7 Julai sehingga 10 Oktober 2024. 

 

Kata DOSM, liputan banci merangkumi empat (4) subsektor iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan & Akuakultur dan Perhutanan & Pembalakan.

 

"DOSM berharap agar Banci Pertanian 2024 dijadikan statistik pertanian sebagai kunci kepada pembangunan, perkembangan dan kemajuan sektor pertanian negara menjelang 2030, selaras dengan tema “Banci Pertanian 2024, Kunci Kemajuan Pertanian.

 

"Maklumat lanjut berkaitan Banci Pertanian 2024 boleh dilayari di portal Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu www.myagricensus.gov.my dan laman Facebook Banci Pertanian 2024 www.facebook.com/bancipertanian2024/," katanya. - DagangNews.com