Malacca Securities jangka prospek jangka panjang Protasco kekal tidak menentu kesan daripada kekurangan projek baharu | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka prospek jangka panjang Protasco kekal tidak menentu kesan daripada kekurangan projek baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Prospek jangka panjang Protasco Berhad kekal tidak menentu berikutan projek baharu yang semakin berkurangan daripada segmen penyelenggaraan jalan, yang merupakan penyumbang terbesar kepada kumpulan itu selama ini.

 

Bagaimanapun, Malacca Securities berkata, kumpulan itu akan terus memanfaatkan jumlah peruntukan untuk penyelenggaraan berkala jalan persekutuan berjumlah RM1 bilion yang diumumkan di bawah Bajet 2023 yang disemak semula.

 

Firma itu berkata, buat masa sekarang, penyelenggaraan tertunggak kumpulan itu berjumlah kira-kira RM2.1 bilion dan ia seharusnya memberikan keterlihatan hasil sehingga 2029.

 

Sementara itu, firma itu berkata, segmen pembinaan disokong oleh tempahan tertunggak kira-kira RM400 juta pada akhir FY22, ia dijangka menyaksikan peningkatan sumbangan daripada kerja-kerja menaik taraf jalan di projek perumahan Prihatin dan Kulim.

 

"Namun, kami menganggap bahawa margin mungkin kekal di bawah tekanan disebabkan oleh harga bahan binaan yang tinggi dan kos buruh yang lebih tinggi.

 

"Kami tetap berhati-hati memandangkan segmen pembinaan domestik yang sedang berjalan yang terus tersekat oleh penganugerahan masa projek-projek infrastruktur mega. 

 

"Selain itu, pasaran pembangunan hartanah yang lembap akan terus menyaksikan kumpulan menahan seketika pelancaran projek baharu," katanya. dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Walaupun firma itu yakin dengan peralihan kepelbagaian ke segmen lain seperti sektor tenaga bersih dan hospitaliti, ia tidak akan dapat mengurangkan kelemahan daripada segmen pembinaan dan hartanah, manakala segmen pendidikan dijangka berada dalam keadaan merugikan.

 

"Oleh itu, kami menghentikan liputan terhadap Protasco dan saranan terakhir kami adalah 'jual' dengan harga wajar (FV) 17 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com