Malacca Securities lancar aplikasi M+ Global bantu pelabur berjaya di pasaran dunia | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities lancar aplikasi M+ Global bantu pelabur berjaya di pasaran dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Malacca Securities Sdn Bhd melancarkan sebuah platform dagangan global sehenti serba lengkap, M+ Global untuk semua peniaga bagi menawarkan akses kepada pelbagai peluang pelaburan antarabangsa, bermula dengan dua pasaran saham terbesar di dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

 

Pengarah Urusan Malacca Securities Sdn Bhd, Lim Chia Wei berkata, pihaknya gembira untuk membantu rakyat Malaysia menguasai pasaran dunia bersama dengan M+ Global. 

 

"Dengan tawaran akses terhadap pasaran Amerika Syarikat dan Hong Kong, rakyat Malaysia kini mempunyai peluang pelaburan yang lebih besar dalam beberapa syarikat terbesar dan paling berjaya merentasi pelbagai sektor dan industri di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ketua Perniagaan Malacca Securities Sdn Bhd, Chuck Lim pula berkata, pihaknya ingin memperkasakan pengguna dengan alatan dan maklumat yang mereka perlukan untuk berjaya. 

 

"Kami gembira untuk menawarkan pengguna kami platform lancar yang menggabungkan teknologi termaju dan maklumat pasaran masa nyata. 

 

"Dengan M+ Global, peniaga boleh menyelusuri dunia pelaburan global yang rumit dengan mudah dan yakin bagi membuka pintu kepada pertumbuhan dan kejayaan, semuanya berada di hujung jari mereka," katanya.

 

M+ Global merupakan platform dagangan digital serba baharu yang memberikan rakyat Malaysia kuasa untuk mengharungi pasaran dinamik global, merebut peluang, dan menjamin masa depan kewangan mereka. 

 

Melalui satu akaun, pengguna boleh mendapat akses kepada lebih daripada 7,000 penyenaraian saham di Amerika Syarikat, 3,000 di Hong Kong dan derivatif boleh niaga tanpa had, seperti waran, ETF, CBBC dan REIT. 

 

Akses yang tiada tandingan terhadap pertukaran asing ini membolehkan rakyat Malaysia melabur dalam syarikat besar seperti Apple, Tesla, Alibaba, Tencent, dan banyak lagi.

 

Selain itu, ia juga adalah platform dagangan digital pertama di Malaysia yang menawarkan data masa nyata dengan kerjasama pasaran saham AS, Nasdaq.

 

Tambahan pula, M+ Global ialah satu-satunya platform dagangan digital di Malaysia yang menawarkan ciri penapisan syariah untuk saham global. 

 

Pelabur yang ingin melabur mengikut prinsip Islam kini boleh mengenal pasti dan memperoleh akses segera kepada pilihan saham patuh syariah yang komprehensif. - DagangNews.com