Malacca Securities mulakan liputan terhadap OSK Holdings dengan saranan 'beli', TP RM1.41 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities mulakan liputan terhadap OSK Holdings dengan saranan 'beli', TP RM1.41

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 April - Malacca Securities Sdn. Bhd. memulakan liputan terhadap OSK Holdings Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.41.

 

Firma penyelidikan itu melihat, kumpulan tersebut memiliki lima perniagaan teras yang stabil termasuk perkhidmatan kewangan, pembangunan hartanah, pembinaan, industri dan perniagaan hospitaliti.

 

Katanya, OSK juga memiliki pegangan 10.18% ekuiti di dalam RHB Bank selepas penggabungan OSK Investment Bank dan RHB Investment Bank.

 

"Menerusi pelaburan strategik itu, ia membolehkan OSK mendapat manfaat menerusi pendapatan dividen jangka panjang dan seterusnya diterjemahkan kepada hasil dividen yang lumayan sepanjang tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perniagaan hartanah OSK menunjukkan daya tahan tinggi meskipun berdepan situasi tidak menentu pasaran Malaysia dengan kumpulan itu lebih menyasarkan kepada harga mampu milik untuk pasaran semasa.

 

Katanya, pendekatan yang digunakan itu adalah bertepatan dengan Bajet 2022 yang diumumkan sebelum ini dengan sasaran menyelesaikan isu pemilikan rumah. 

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, saiz portfolio pinjaman OSK juga menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini dengan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang terkawal.

 

"Keadaan itu menunjukkan OSK berkemampuan untuk menyeimbangkan kecekapan mereka dalam pemilihan pelanggan, kutipan bayaran balik dan pada masa sama meningkatkan saiz nilai portfolio.

 

"Kami menjangkakan nilai portfolio pinjaman akan mencecah RM1.68 bilion pada penghunjung FY24F berbanding RM980 juta pada penghujung FY21," katanya. - DagangNews.com