Malacca Securities turunkan unjuran pendapatan Rexit bagi FY23-25 berikutan prestasi 3QFY23 di bawah jangkaan | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities turunkan unjuran pendapatan Rexit bagi FY23-25 berikutan prestasi 3QFY23 di bawah jangkaan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Malacca Securities menurunkan unjuran pendapatan Rexit Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kepada RM9.9 hingga RM10.6 juta.

 

“Memandangkan keuntungan bersih syarikat adalah di bawah jangkaan kami, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 masing-masing dikurangkan kepada RM9.9 juta, RM10.3 juta dan RM10.6 juta,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berada di bawah jangkaannya sebanyak 70.2% namun sejajar dengan anggaran konsensus pada 76.8%.

 

Tambahnya, unjuran tersebut telah mengambil kira sumbangan berulang daripada pelanggan sedia ada, serta sumber pendapatan baharu daripada pelanggan yang dijangka akan menyertai kumpulan dalam FY23 dan FY24.

 

“Kami kekal optimistik terhadap rundingan semasa Rexit dengan bakal pelanggan baharu. Sebaik sahaja persetujuan berjaya dicapai, pelanggan dijangka akan menyertai kumpulan pada suku keempat 2023, menyumbang menerusi Sistem Gerbang Pautan Ganjaran dan seterusnya berkembang menjadi urus niaga bukan motor pada suku pertama 2024,” jelasnya.

 

Menurut firma itu, aliran pendapatan baharu daripada pelanggan melalui perkhidmatan langganan akan menjamin pendapatan yang stabil dan berulang.

 

Dari segi aset, Malacca Securities menjangkakan pelayan dan peralatan komputer lain yang telah diterima pada FY22 cukup untuk keperluan pelanggan baharu justeru firma itu tidak menjangkakan perbelanjaan modal yang ketara.

 

Bagaimanapun, kos buruh diramalkan naik disebabkan tenaga kerja tambahan akan diperlukan bagi menyesuaikan sistem mengikut keperluan pelanggan baharu namun kenaikan kos buruh diunjurkan agak kecil berbanding kos keseluruhan yang terlibat.

 

Bagi Perjanjian Perkhidmatan Penyumberan Luar mySalam, yang bermula pada 1 Januari 2019 dan akan tamat pada 31 Disember 2023, tiada sebarang kemas kini mengenai pembaharuannya pada masa ini.

 

“Melangkah ke hadapan, Rexi akan kekal komited mengembangkan perkhidmatan e-Cover kepada sektor perkhidmatan kewangan dan segmen e-dagang yang lain.

 

"Selain itu, kumpulan itu akan terus memasarkan perkhidmatannya ke pasaran serantau. Bagaimanapun, prospek kumpulan itu mungkin kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP)  tidak berubah pada 83 sen sesaham. -DagangNews.com