ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 8 Okt.- Kakitangan syarikat penerbangan Malaysia Airlines digalakkan menguasai kemahiran baharu supaya dapat memainkan peranan dengan lebih efisien demi masa depan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, ini amat penting memandangkan pandemik COVID-19 belum berakhir hingga memaksa sesetengah syarikat penerbangan menangguhkan operasi.
"Jadi, adalah penting bagi kami untuk menyediakan tenaga kerja kami dengan kemahiran baharu dan ini adalah masa yang tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat penerbangan itu baru-baru ini memperkenalkan program peningkatan kemahiran untuk kakitangannya, MH EDGILE bagi melahirkan individu yang lebih kompetitif dan berdaya tahan bagi memacu kelestarian operasi.
Program tersebut dibuka kepada lebih 2,000 kakitangan terutama juruterbang, krew kabin dan pekerja barisan hadapan yang terjejas disebabkan pengurangan rangkaian dan kapasiti operasi.
MH EDGILE menyediakan peluang kepada kakitangan untuk lebih mahir dan cekap menjalankan tugas yang lebih khusus seperti pengurusan fasiliti dan audit atau latihan dalam bidang jualan dan IT Helpdesk.
Inisiatif itu ditawarkan secara sukarela dan tertakluk kepada prasyarat pekerjaan dan pemilihan kritera oleh jabatan penerima.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Modal Insan Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Datuk Mohd. Khalis Abdul Rahim berkata, MAG dalam usaha untuk menyediakan kakitangannya sebagai tenaga kerja masa hadapan yang mampu mengadaptasi cabaran baharu terutama menghadapi pasca COVID-19.
MAG menyediakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan budaya pendigitalan antaranya menerusi siri pembelajaran maya, Re: Imagine Work Series, MAG Learning Hub dan INSPIRE e-learning. - Dagangnews.com