KUALA LUMPUR 15 Ogos - Malaysia Airlines melancarkan penerbangan baharu ke Chiang Mai, Thailand dengan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KUL) pada hari ini.
Penerbangan MH772 Boeing 737-8 itu berlepas dari KUL pada 11:50 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai (CNX) pada 1:40 petang.
Di samping itu, penerbangan balik dari CNX dijadualkan untuk berlepas pada 2:40 petang dan mendarat di KUL pada 6:45 petang.
Malaysia Airlines berkata, penerbangan Kuala Lumpur - Chiang Mai itu telah bermula pada hari ini dan beroperasi sebanyak lima kali seminggu, khususnya pada setiap hari Isnin, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Penerbangan lima hari seminggu itu memberikan pilihan kepada penumpang dan memastikan kesinambungan perjalanan pergi dan balik mereka berjalan dengan lancar,” ujar Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, lalaun baharu dari Kuala Lumpur ke Chiang Mai menandakan satu pencapaian besar Malaysia Airlines.
“Perkhidmatan terbaharu itu menandakan Chiang Mai sebagai destinasi ASEAN ke-16 kami, ini membuktikan usaha erterusan kami meluaskan rangkaian penerbangan meliputi utara dan selatan Thailand.
“Perkembangan rangkaian kami sejajar dengan komitment syarikat menyokong Visit Malaysia Tahun 2026 (VMY 2026), kami juga menyasarkan untuk meningkatkan akses dan memacukan pertumbuhan dalam matlamat pelancongan Malaysia,” ulas beliau.
Sempena pelancaran laluan baharu itu, Malaysia Airlines menawarkan tambang penerbangan khas Kelas Ekonomi bermula RM639 bermula 31 Ogos 2024.
Tambang penerbangan pergi dan balik itu termasuk 20kg bagasi daftar masuk dan bagasi kabin sebanyak 7kg.- DagangNews.com