Malaysia Airlines manfaatkan pasaran pelancongan Sabre edar kandungan NDC | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines manfaatkan pasaran pelancongan Sabre edar kandungan NDC

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Sabre Corporation dan Malaysia Airlines memeterai penjanjian baharu untuk mengedarkan kandungan keupayaan pengedaran baharu (NDC) menerusi pasaran pelancongan Sabre.

 

Sabre, yang merupakan penyedia perisian dan teknologi bagi industri pelancongan, dalam kenyataan media hari ini berkata perjanjian tersebut membolehkan syarikat penerbangan tersebut mengembangkan peruncitan berasaskan tawaran dan tempahan kepada penjual perjalanan.

 

Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan dari Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata kerjasama dengan Sabre membolehkan Malaysia memberi tawaran yang dipertingkat dan kandungan dengan berkesan kepada penjual pelancongan supaya mereka boleh membuat keputusan terbaik untuk pengembara.

 

“Kami telah berjaya menggunakan rangkaian luas rumusan teknologi daripada Sabre dan teruja untuk menambah kandungan NDC kami ke pasaran luas Sabre.

 

“Adalah penting bagi kami agar boleh menyediakan penjual pelancongan dengan pengalaman pembelian omni-saluran terbaik apabila membeli-belah dan menempah untuk tambang dan tawaran kami,” ujar beliau dalam kenyataan yang sama.

 

Penjual pelancongan Sabre di pasaran utama kini boleh membeli-belah, menempah dan memberi perkhidmatan kepada tawaran NDC Malaysia Airlines, di samping pilihan kandungan tradisional, menerusi API Tawaran dan Tempahan Sabre, rumusan titik jualan agensi, Sabre Red 360 dan platform tempahan korporat Sabre, Get There.

 

Tawaran NDC syarikat penerbangan itu kini tersedia melalui pasaran Sabre di Australia, India, Indonesia, Malaysia, Singapura dan United Kingdom dan akan ditambah pada masa akan datang.

 

Naib Presiden Pengurusan Produk, Pengalaman Pengedaran Sabre, Kathy Morgan berkata kedua-dua syarikat tersebut telah bekerjasama selama lebih daripada 20 tahun dengan memanfaatkan rangkaian teknologi Sabre yang meluas.

 

“Adalah penting bagi Malaysia Airlines untuk mempunyai keupayaan yang diperlukan agar kandungannya diperoleh penjual perjalanan yang betul, kerana syarikat penerbangan itu terus meningkatkan perkhidmatan dan memperkenalkan produk baharu.

 

“Sabre berada di barisan hadapan evolusi NDC dan berbesar hati dapat melancarkan kandungan NDC Malaysia Airlines sambil kami terus memacu kerjasama, membentuk ekosistem dan membuka jalan untuk tawaran dan peruncitan masa hadapan,” tambahnya.  - DagangNews.com