Malaysia Airlines perbaharui kerjasama dengan SITA, tingkatkan ketersambungan | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines perbaharui kerjasama dengan SITA, tingkatkan ketersambungan

KUALA LUMPUR 14 Julai - Malaysia Airlines memperbaharui kerjasamanya dengan SITA, penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) untuk industri pengangkutan udara bagi penambahbaikan secara menyeluruh. 

 

Ia akan menghubungkan operasi global dengan habnya di Kuala Lumpur melalui ketersambungan rangkaian yang pantas, selamat dan boleh dipercayai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Izham Ismail berkata, Malaysia Airlines turut menekankan keselamatan adalah faktor utama dalam memilih penyelesaian SITA untuk menyokong sistem operasi kritikal syarikat penerbangan.

 

"Meningkatkan ketersambungan, keselamatan dan ketangkasan teknologi adalah tulang belakang yang menyokong Malaysia Airlines, yang akan memastikan kami bersedia untuk kemasukan penumpang dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Ini juga dapat membantu kami menyampaikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk semua,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini. 

 

Malaysia Airlines akan memanfaatkan SITA Connect yang menyediakan ketersambungan rangkaian, membolehkan ahli pasukan mengakses sistem pusat dari mana-mana jua, menyokong operasi syarikat penerbangan itu di seluruh dunia untuk pekerja yang bekerja dari jauh.

 

SITA Connect akan mengurangkan kos ketersambungan, meningkatkan kualiti perkhidmatan, memudahkan akses kepada ciri dan aplikasi baharu serta memudahkan proses daftar masuk penumpang  di seluruh dunia, dengan memanfaatkan kewujudan global SITA di lebih 650 lapangan terbang di 220 negara dan wilayah.

 

Sementara itu, Presiden Asia Pasifik SITA, Sumesh Patel berkata, SITA mempunyai sejarah kerjasama yang lama dengan Malaysia Airlines.

 

“Kami gembira dapat sekali lagi memperbaharui kerjasama dengan menaik taraf beberapa perkhidmatan yang akhirnya akan membantu menyampaikan proses penumpang yang lancar," katanya. - DagangNews.com