Malaysia Airlines tamatkan khidmat katering dalam penerbangan Brahim's | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tamatkan khidmat katering dalam penerbangan Brahim's

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Malaysia Aviation Group (MAG) dan Brahim’s Holdings Bhd menamatkan kerjasama katering dalam penerbangan mereka yang sudah berdekad lamanya selepas tempoh rundingan secara menyeluruh dan berpanjangan.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MAG, syarikat induk Malaysia Airlines Bhd, berkata ia akan menggunakan perkhidmatan katering sendiri mulai 1 September.

 

Syarikat itu berkata ia telah menerima notis pemberhentian rasmi untuk menamatkan perkongsian itu pada 30 Jun, tetapi Brahim’s kemudiannya bersetuju dengan lanjutan dua bulan berakhir 31 Ogos.

 

“Pada November 2022, MAG meneruskan proses pembaharuan kontraknya susulan lesen bersyarat perkhidmatan makanan Brahim’s (BFS) dikembalikan semula oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Matlamatnya adalah bagi mewujudkan cadangan perniagaan saling menguntungkan yang memanfaatkan MAG dan BFS, sambil mengutamakan kepentingan pengguna," kata MAG.

 

MAG berkata ia akan terus meneroka pelbagai strategi untuk memastikan kemampanan perniagaan, termasuk bekerjasama dengan penyedia makanan dan minuman bereputasi yang berkongsi komitmen terhadap pengalaman premium penumpang dan perkhidmatan dalam penerbangan yang cekap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

 

“Kumpulan tersebut juga kekal teguh dalam komitmennya menyampaikan pengalaman premium kepada pelanggan melalui pembekal perkhidmatan dan berdedikasi memastikan pengalaman terbaik untuk pelanggannya,” katanya.

 

Sehubungan itu, MAG berkata pelan kesinambungan perniagaan (BCP) bakal dimulakan untuk perkhidmatan hidangan dalam penerbangan di laluan terpilih di bawah MAB, berkuat kuasa 1 September.

 

“Pengaktifan BCP menandakan penamatan perkongsian lama perkhidmatan katering yang sebelum ini disediakan oleh BFS pada laluan domestik dan antarabangsa terpilih dalam rangkaian Malaysia Airlines.

 

“Ketika peralihan ini, Malaysia Airlines akan menyediakan makanan dan minuman dalam penerbangan alternatif bagi laluan yang terjejas, memastikan kelancaran operasi sementara mengurangkan sebarang potensi kesan terhadap keselesaan dan pengalaman pelanggan. Bagi laluan lain, makanan akan dihidangkan oleh penyedia semasa, POS Aviation Sdn Bhd,” katanya.

 

MAG berkata perancangan teliti telah dilakukan bagi operasi katering sendiri di bawah Malaysia Airlines, melibatkan memperoleh makanan pra-bungkus, serta bekalan makanan dan minuman daripada pelbagai pembekal, termasuk pengendali ruang istirahatnya MAS Awana.

 

“Sementara itu, syarikat pengendalian darat MAG, AeroDarat Services, akan menguruskan proses mengangkat makanan memasuki pesawat.

 

“Bagi memudahkannya, pusat pengedaran sementara telah diwujudkan di KLIA mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Kesihatan,” katanya. - DagangNews.com