Malaysia Airports raih untung bersih RM189.98 juta pada 1QFY24, lonjakan lebih 200% | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airports raih untung bersih RM189.98 juta pada 1QFY24, lonjakan lebih 200%

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Mei - Malaysia Airports Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih 226% kepada RM189.98 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24).

 

Setahun sebelumnya, untung bersih pengendali lapangan terbang itu berjumlah RM58.18 juta pada 1QFY23.

 

Dalam suku tahun tinjauan berakhir 31 Mac 2024, Malaysia Airports merekodkan pendapatan RM1.35 bilion daripada RM1.03 bilion pada 1QFY23.

 

Peningkatan tersebut bersamaan 30.6%, kata Kumpulan berkenaan dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurutnya, pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan jumlah penumpang susulan operasi syarikat penerbangan baru, cuti sekolah, musim perayaan Tahun Baharu Cina.

 

Turut menyumbang kata Malaysia Airports ialah pelaksanaan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India ke Malaysia.

 

MAS

 

"Kumpulan mencatat jumlah penumpang sebanyak 31.3 juta berbanding dengan 26.8 juta penumpang dalam suku yang sama tahun lalu. Operasi di Malaysia menyaksikan peningkatan trafik penumpang yang mencapai 21.8 juta penumpang berbanding dengan 18.7 juta penumpang dalam suku yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

"Begitu juga, operasi di Turki terus menunjukkan pertumbuhan trafik penumpang, meningkat dari 8.1 juta kepada 9.5 juta penumpang dalam tempoh yang sama. 

 

"Pendapatan segmen bukan-aeronautikal meningkat dari RM406.9 juta kepada RM531.8 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada pendapatan komersial dari operasi di Malaysia dan Turki," katanya.

 

Dalam suku semasa yang dikaji, Kumpulan mencatat untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM214.6 juta, peningkatan ketara daripada RM63.3 juta dalam suku yang sama pada tahun sebelumnya, iaitu lonjakan 239.3%.

 

mahb
Pengecualian visa kepada pelancong China bantu tingkatkan jumlah penumpang antarabangsa pada 2024. -Gambar MAHB

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Airports terima tawaran pengambilalihan RM11 sesaham bernilai RM12 bilion

 

Katanya, peningkatan yang ketara ini disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi dan pendapatan lain, berserta peningkatan sumbangan keuntungan daripada syarikat-syarikat rakan kongsi dan usaha sama. 

 

"Seiring dengan pendapatan yang lebih tinggi, Kumpulan juga mencatat peningkatan kos disebabkan oleh yuran pengguna yang lebih tinggi yang perlu dibayar di bawah Perjanjian Pengendalian dan bahagian pendapatan yang lebih tinggi yang perlu dibayar di bawah konsesi ISG, sementara kos operasi lain dan penyusutan meningkat seiring dengan pertumbuhan trafik penumpang dan untuk memenuhi keperluan operasi," jelasnya.

 

Mengenai prospek 2024, Malaysia Airports berkata, pihaknyta telah kembali dan mengekalkan keuntungan serta aliran tunai positif selama 5 suku yang lalu, seiring dengan pemulihan trafik. 

 

"Untuk Tahun Kewangan 2024, dijangka trafik penumpang akan semakin pulih mendekati tahap sebelum pandemik. Selaras dengan prospek trafik yang positif dan permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan udara, Mlaysia Airports telah membuat pelaburan penting dan signifikan untuk menggantikan aset yang menua dan memodenkan lapangan terbang yang dioperasikan," ujarnya.

 

Walaupun demikian, kata Malaysia Airporrts, prestasi Kumpulan mungkin akan terkesan oleh ketersediaan pesawat dan faktor-faktor makroekonomi seperti inflasi global dan peningkatan potensi dalam harga bahan api serta risiko geopolitik. - DagangNews.com