Malaysia akan komersialkan generasi kedua bahan bakar bio - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Malaysia akan komersialkan generasi kedua bahan bakar bio - Zuraida

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Malaysia telah menerokai pengeluaran biodiesel generasi kedua dan bahan bakar biojet yang dijangka dikomersialkan ke pasaran global dalam tempoh 4 hingga 5 tahun akan datang. 

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pencapaian penting itu dicapai berikutan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai pertukaran teknikal pengeluaran biodiesel dan bahan api biojet generasi kedua di Malaysia.

 

MoU itu, katanya, membabitkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia bersama Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd., Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences bagi pembangunan loji minyak sayuran hydrogenated' (HVO) di Pengerang, Johor.

 

Menurutnya, kerjasama 2 hala ini akan mengeratkan hubungan kedua-dua negara memandangkan China merupakan antara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia kira-kira 2.73 juta tan pada 2020.

 

 

zuraida kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

'

 

"Malah, saya juga ingin menekankan kerjasama mengenai pembangunan loji HVO ini akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dijangka menarik pelaburan langsung asing bernilai RM3 bilion dan mewujudkan hampir 800 peluang pekerjaan kepada rakyat. 

 

"HVO merupakan pasaran yang berpotensi dalam biodiesel minyak sawit kerana permintaan semakin meningkat di kebanyakan negara termasuk Kesatuan Eropah (EU). Oleh itu, loji HVO ini akan menyasarkan pasaran yang penting ini," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika dalam majlis menandatangani MoU tersebut hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

 

SCIG merupakan syarikat milik penuh kerajaan dan dikendalikan oleh Wilayah Shanxi, China dan berhasrat untuk melabur dalam loji HVO di Malaysia.

 

HVO turut dikenali sebagai bahan api generasi kedua yang mana minyak sawit dipecahkan dan dihidrogenkan untuk menjadi bahan api hidrokarbon. 
 

Zuraida berkata, loji HVO mempunyai potensi untuk mengeluarkan bahan api penerbangan yang mampan (SAF) yang juga dikenali sebagai bahan api biojet.

 

"Oleh itu, saya percaya projek ini akan menambah nilai kepada produk minyak sawit Malaysia dengan memperkukuhkan pertukaran dagangan dalam produk bernilai tambah tinggi," tambah beliau. - DagangNews.com